Rakyat Malaysia mahukan kepastian mengenai tarikh peralihan kuasa perdana menteri (PM) Tun Mahathir kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Situasi yang sama juga berlaku di Inited Kingdom, apabila parti Konservatif menang dalam pilihan raya umum. Calon utama PM Boris Johnson menggunakan isu tarikh pasti penarikan diri UK daripada kesatuan Eropah.
“Kemenangan besar parti Konservatif di Britain menunjukkan rakyat Britain mahukan satu kepastian iaitu Britain akan keluar dari blok Kesatuan Negara-Negara Eropah (Brexit) pada 31 Januari 2020.
“Sebelum ini, isu tersebut telah menjadi kemelut di Britain selama tiga setengah tahun (sejak Jun 2016) di bawah pimpinan Perdana Menteri David Cameron dan selepas itu Theresa May (kedua-duanya dari parti Konservatif).
“Boris Johnson dari parti Konservatif telah menjanjikan dalam manifestonya untuk menamatkan kemelut tersebut dan oleh itu tidaklah menghairankan apabila beliau telah meraih kemenangan yang besar daripada majoriti rakyat Britain yang telah bosan dengan isu Brexit itu.
“Negara kita pun perlukan satu kepastian juga,” kata Prakash yang memiliki kedai barang elektrik di Kepong Baru.
Menurutnya di Malaysia, rakyat juga mehukan kepastian yang sama mengenai tarikh peralihan kuasa.
“Dulu sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) sudah dijanjikan secara lisan bahawa Anwar Ibrahim akan mengambil-alih jawatan PM dalam masa 2 tahun dan tarikh itu jatuh pada 10 Mei 2020.
“Justeru, ramai rakan dan saudara-mara saya serta rakan dari golongan usahawan inginkan perkara ini direalisasikan pada tarikh 10 Mei 2020. Rakyat Malaysia mahukan satu kepastian dalam perkara ini yang akan menentukan masa depan rakyat dan negara. Tidak usah berdolak-dalik kerana ekonomi negara belum lagi dibaiki-pulih,” sambungnya.
Beberapa usahawan kecil seperti pemilik kedai barang runcit, pemilik kedai menjual barangan logam dan pemilik bengkel membaiki kereta semuanya berasa kecewa bahawa sehingga kini isu peralihan kuasa jawatan PM masih samar-samar.
Hal yang sama juga diungkapkan oleh Ah Meng, 40an yang memiliki bengkel membaiki kereta di Kuala Lumpur
“Semua rakyat hendakkan satu kepastian. Oleh sebab sekarang tiada kepastian pasal isu PM dan halatuju negara, orang ramai tidak berani belanja besar atau membuat pelaburan yang besar. Sekarang sudah ‘slowdown’ ekonomi negara kita,” katanya.
Semua yang ditemuramah menegaskan bahawa isu halatuju dan jawatan PM wajar diperjelaskan pada awal tahun depan.