Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri tidak mungkin dibawa keluar dari penjara Kajang dan menemui VVIP pada Februari lalu sebagaimana didakwa oleh seorang peguam kanan sebelum ini.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata Azilah hanya dibawa keluar pada 15 April 2015 kerana banduan itu perlu menghadiri prosiding mahkamah di Sepang.
Menurut jabatan itu lagi, rekod menunjukkan Azilah menerima 34 lawatan dari ahli keluarganya dan 15 lawatan dari peguamnya tahun ini. Menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya peguam tidak melawat banduan bilik akhir kecuali anggota keluarga.
“Oleh itu, sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan bahawa Azilah telah dibawa keluar dari penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali,” kata jabatan itu.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah semalam membuat kenyataan bahawa berdasarkan “maklumat yang sangat dipercayai” tetapi tidak boleh didahkan dirinya bahawa banduan itu pernah dibawa keluar pada Februari tahun ini.
Peguam yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak itu walau bagaimanapun, tidak mendedahkan identiti VVIP berkenaan.
“Di luar penjara, bukan di dalam penjara. Ini apabila dia sedang menunggu hukuman mati. Ini benar-benar langgar protokol, tetapi seperti yang saya katakan, saya tidak boleh mengesahkannya, saya sedang cuba untuk mendapatkan kepastian,” katanya.
Shafee membuat dakwaan berkenaan susulan tindakan Azilah yang memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan mahkamah persekutuan yang mendapati dirinya bersalah kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shariibuu pada 2006 dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.
Dengan berbuat demikian, Azilah mengemukakan akuan berkanun (SD) yang mendakwa bahawa dirinya telah diarahkan oleh Najib untuk membunuh Altantuya, yang dituduh oleh bekas perdana menteri itu sebagai seorang perisik asing.
Pada tahun 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK polis, Sirul Azhar Umar.
Walau bagaimanapun, Sirul berjaya melarikan diri ke Australia selepas pembebasan itu dan kini berada di pusat tahanan imigresen di Sydney.
Razak Baginda sekutu rapat Najib didakwa bersubahat dengan kedua-dua mereka itu tetapi dia juga kemudiannya dibebaskan.
Keputusan untuk tidak merayu pembebasan Razak Baginda dan proses mahkamah yang gagal mengketengahkan motif pembunuhan serta kegagalan pendakwaan untuk memanggil bekas ketua pengiring Najib, Musa Safri, yang didakwa oleh Azilah memainkan peranan penting, sebagai saksi menimbulkan spekulasi terdapat cubaan untuk menutup kes.
Najib menafikan dakwaan Azilah, dan menuduh semua itu semata-mata rekaan dan plot politik untuk membungkamnya.