Najib Razak berkata tidak pernah mengetahui terdapat wang berjumlah RM32 juta yang dipindah masuk ke dalam akaun peribadinya.
Ketika mememberi keterangan dalam kes perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, mendakwa dia tidak mengatahuinya kerana akaunnya diuruskan oleh pihak ketiga.
Najib berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram sama ada Najib tahu mengenai kemasukan wang itu.
Najib dalam keterangan bela dirinya berkata, individu yang mengendalikan akaun bank miliknya sudah pasti akan memaklumkan jika terdapat transaksi yang mencurigakan. Tambahnya lagi, pihak bank juga sepatutnya akan memaklumkan kepada beliau sebagai pemilik akaun jika terdapat transaksi wang keluar masuk yang mencurigakan.
“Saya tidak menguruskan akaun saya sendiri. Mereka yang menguruskan akaun saya sepatutnya lebih tahu,” jawab Najib.
Sementara itu, prosiding siang tadi kerap menyaksikan pertikaman lidah di antara Najib dan Sithambaram ketika persoalan mengenai kesahihan tandatangan bekas perdana menteri itu dalam dokumen SRC dibangkitkan pendakwaan.
Pertikaman lidah itu bermula apabila Najib tidak menjawab dengan terus soalan Sithambaram yang hanya menghendaki jawapan “ya” atau “tidak” sebaliknya sentiasa mahu menjelaskan dengan lanjut. – RF8 Media