Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin Kajian Impak Trafik (TIA) yang dijalankan mampu menangani masalah kesesakan trafik sepanjang kerja-kerja penaiktarafan dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (PIA) dilaksanakan kelak.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesesakan trafik yang bakal dihadapi sepanjang projek penaiktarafan dan pembesaran PIA.
Jelasnya, TIA merupakan syarat penting sebelum permohonan kebenaran merancang diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 3 Disember lalu.
“Pastinya, pihak MBPP perlu berpuas hati dengan TIA terlebih dahulu sebelum meluluskan permohonan kebenaran merancang lapangan terbang ini.
“Justeru, bagi melancarkan aliran trafik dan mengelakkan kesesakan, syarat-syarat yang terkandung perlulah diikuti semasa kerja-kerja pelaksanaan projek.
“Kalau ikut syarat-syarat yang disyorkan ini, saya percaya masalah trafik dapat diatasi,” ujar beliau.
Pada sidang media pengumuman pembesaran PIA, Ahs Architects Sdn. Bhd. selaku perunding utama projek memaklumkan bahawa pembesaran PIA melibatkan penambahan dua kali ganda keluasan terminal berbanding 54,000 meter persegi kini.
Pembesaran tersebut yang dijadualkan bermula Mac 2020 dan (dijangka) siap pada tahun 2024 dijangka mampu menampung sehingga 28 pesawat komersial pada satu-satu masa berbanding hanya 15 pesawat waktu ini. – RF8 Media