Kemelut kelulusan memansuhkan elaun perkhidmatan kritikal bagi jawatan tertentu dalam sektor awam yang menjadi kontroversi kemudiannya berlaku disebabkan menteri tidak mempunyai cukup masa untuk meneliti kertas cadangan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Ir Khalid Samad berkata, Kabinet tidak sepatutnya meluluskan sebarang kertas cadangan yang dihantar pada hari yang sama.
Menurut beliau, kertas berkenaan cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam memansuhkan elaun bulanan RM750 bagi perkhidmatan kritikal itu dibawa ke Kabinet pada hari mesyuarat 18 Disember, bukannya mengikut kelaziman dua minggu sebelumnya.
“Kami tidak dapat membaca semuanya dan ia diluluskan,” katanya dipetik FMT.
Beliau turut berkata, tajuk dalam kertas cadangan disebut “pengubahsuaian” kepada elaun tetapi teks laporan menjadi “penarikan” elaun perkhidmatan kritikal.