Pakatan Harapan (PH) mula bersungguh-sungguh menetapkan tarikh peralihan kuasa antara PM Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim dengan mengulangi proses penyerahan jawatan akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 November akhir tahun ini.
Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, tarikh yang ditetapkan pada November tersebut menolak spekulasi peralihan akan dilakukan pada Mei depan.
Katanya, muafakat PH pada 6 Januari tahun lalu berhubung isu berkenaan tidak menyatakan sebarang tarikh peralihan kuasa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan.
Beliau turut menegaskan, tidak wujud pertikaian dalam Majlis Presiden PH mengenai muafakat PH dalam isu berkenaan.
Menteri Luar itu berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sudah menyatakan pada 10 Disember lalu bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas APEC 2020.
“Sebarang soal peralihan kuasa harus dikembalikan kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan ditentukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PH melangkah ke era baharu tahun ini dengan satu hala tuju membawa agenda Malaysia Baharu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 20 bulan yang lalu, pelbagai usaha digerakkan untuk memenuhi manifesto Buku Harapan.
“Saya bersetuju bahawa kita perlu melaksana dan menunaikan manifesto PH. Majlis Presiden PH sudah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Manifesto pada 8 Julai 2019 yang dipengerusikan oleh Senator Liew Chin Tong,” katanya.
Sebelum ini dalam perutusan tahun baharunya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menekankan peralihan kuasa akan dijalankan secara tertib selepas sidang APEC yang membayangkan Anwar akan dilantik sebagai PM ke 8 seawalnya pada Disember 2020.