Sebanyak 61 Projek Mesra Rakyat telah dilaksana di Port Dickson sepanjang tahun lepas, kata Ahli Parlimennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi tujuan itu yang antaranya melibatkan 17 projek kerja-kerja menaik taraf gelanggang sukan, 15 projek membina dan menaik taraf sistem perparitan serta 13 projek menaik taraf dan membina kemudahan asas seperti parkir kereta dan baik pulih bangunan.
“Selain itu, projek menaik taraf jalan-jalan kampung dan membina jalan baharu melibatkan sembilan projek manakala kerja-kerja menaik taraf balai raya dan dewan orang ramai melibatkan tujuh projek,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata sejak memikul mandat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, pelbagai usaha juga telah berjaya dilaksanakan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.
Ia antaranya pelancaran projek pembangunan Lexis Hibiscus 2 yang mampu meningkatkan potensi lokasi pelancongan selain mewujudkan peluang pekerjaan buat warga tempatan.
“Pencapaian-pencapaian lain termasuk menempatkan dua buah sekolah di Port Dickson sebagai sekolah angkat oleh syarikat gergasi Jepun NEC (NEC Corporation), inisiatif pembersihan pantai dan menaik taraf jeti nelayan serta kawasan ternakan kupang,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden KEADILAN itu turut berjanji untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kepada kepentingan rakyat di kawasan itu dengan fokus antaranya berkaitan isu perumahan, pendidikan, pembangunan desa dan peluang pekerjaan.
“Antara yang disasarkan termasuk mewujudkan sistem perkhidmatan awam yang lebih efisien serta pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata perkara ini tidak dapat dilaksanakan tanpa khidmat cemerlang semua pihak antaranya penjawat awam, jentera parti politik, masyarakat setempat serta badan bukan kerajaan (NGO).