BAGAIMANA PAS TERENGGANU TERLEPAS KUASA PADA PRU 12 2004
Inil ialah wawancara Timbalan Pengerusi UMNO Terengganu dengan akhbar Umno@utusan malaysia berkenaan keyakinan dan strateginya menawan semula Terengganu daripada PAS.
Pada mulanya rata-rata pemimpin dan pengiat PAS Terengganu memperlekehkan keupayaan Idris Jusoh tersebut namun kuasa Allah adalah segala2nya yang mana akhirnya PAS Terengganu kehilangan kuasa mengejut pada PRU 12 2004 kalah dengan penuh pedih sedih dan murung terutama pimpinan atasan sehingga Pengerusi JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat) enggan ke kedai kopi pada pagi kekalahan teruk itu.
Walaupun PAS Terengganu menyimpulkan bahawa masalah pengundi hantu, penambahan mendadak bilangan pengundi dan pelbagai lagi analisa berkaitan kekalahan tersebut namun hakikatnya PAS hilang kuasa di Terengganu dikala PAS telah yakin melaksanakan banyak pembaharuan dan kebaikan kepada rakyat Terengganu daripada pemansuhan Tol di jambatan Sultan Mahmud, cukai bakul dan beca, penghapusan cukai pintu, pemberiaan geran tanah, penyelesaian pemilikan tanah dan banyak lagi namun pengundi Terengganu telah mengembalikan kuasa kerajaaan Terengganu kepada BnUmno.
Semoga Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dapat manfaat dari kejadian seperti ini agar tidak menimpa mereka terutama di saat rakyat terbuka mindanya sekarang ini.
Menterjemah undi rakyat — Janji dan harapan Idris untuk melihat Terengganu menjadi cemerlang
MUKADIMAH
BEBERAPA bulan lalu, ketika Datuk Idris Jusoh mengulangi keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) boleh menguasai Terengganu dengan kemenangan dua pertiga, tentunya tidak ramai yang mengiakan di belakangnya.
“Saya tak boleh meyakinkan sesiapa kecuali menunggu pilihan raya, walaupun saya percaya sudah dapat `membaca’ reaksi rakyat yang inginkan perubahan itu.”
Beliau kelihatan agak susut, cukup untuk menggambarkan hari-hari yang dilalui sepanjang musim pilihan raya, namun nada suaranya masih tegas seperti biasa.
Idris kini melalui satu episod baru dalam hidupnya, setelah beliau diuji dengan menerima tanggungjawab berat membangunkan semula jiwa UMNO di negeri ini yang luluh dan meyakinkan rakyat agar memberi kepercayaan semula.
Tugas yang lebih berat tentu menunggunya sebagai Menteri Besar tetapi bagi Idris ia lebih mudah, apabila masa depan yang dijanjikan untuk berteraskan Islam hadhari dapat dilaksanakan dengan kuasa yang diberi oleh rakyat.
Beliau berjanji akan menterjemahkan undi dan sokongan rakyat kepada satu bentuk usaha bersepadu bagi mengubah wajah negeri ini dan meningkatkan ekonomi rakyat.
“Saya impikan lahirnya satu tamadun baru Islam di negeri ini. Sepuluh tahun mungkin cukup jadikan Terengganu negeri maju,” ujarnya kepada wartawan Mingguan Malaysia, Abdullah Hassan dan Wan Zulkifli Wan Yaacob yang menyorot harapan dan impiannya dalam wawancara yang diberikan pada hari pertama beliau secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.
MINGGUAN: Kami bagi pihak Mingguan Malaysia mengucapkan tahniah di atas kejayaan UMNO dan Barisan Nasional negeri dalam pilihan raya ke-11. Apa perasaan Datuk setelah BN berjaya menawan semula Terengganu?
IDRIS: Saya sukacita rakyat Terengganu telah memilih kerajaan Barisan Nasional dan kerana percaya inilah kerajaan yang boleh membawa kemajuan dan memberi manfaat kepada mereka.
Bagaimana Datuk menterjemah undi yang sebesar itu kepada BN?
IDRIS: Memang rakyat apabila melihat Pas tidak mampu untuk membawa apa-apa kemajuan untuk mereka, kembali memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional yang telah mempunyai satu rekod kejayaan yang cemerlang.
Kita ada trek rekod kemampuan. Apabila Pas memerintah, rakyat boleh membuat perbandingan apa yang boleh dilaksanakan dan apa yang boleh dilaksanakan oleh Barisan Nasional. Sebab itu rakyat merasakan mereka perlu mengubah kesilapan yang dilakukan pada tahun 1999 dan kembali menyokong BN.
Bagaimana pula harapan Datuk kepada barisan Exco kerajaan negeri yang dilantik untuk memenuhi aspirasi dan harapan rakyat?
IDRIS: Kita perlu bekerja dengan penuh kecemerlangan, penuh tanggungjawab dan penuh keamanan. Insya-Allah dengan tugas-tugas tersebut, kita akan bekerja kuat dan boleh menterjemah usaha itu untuk menjadikan Terengganu sebuah negeri yang cemerlang.
Apakah keutamaan Datuk sebagai Menteri Besar setelah lebih empat tahun bersama-sama rakyat “berkurung” di bawah kerajaan Pas?
IDRIS: Yang mustahak kita pastikan pendidikan diberi keutamaan yang paling tinggi. Keduanya kita ingin menghapuskan kemiskinan.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri bahawa pertanian, petani dan nelayan tidak semestinya menjadi hak orang miskin. Kita hendak pastikan tidak ada kemiskinan. Itu mungkin dilakukan dengan program-program menghapuskan kemiskinan secara terus atau pelaburan, pembangunan ekonomi dan memberi peluang pekerjaan secara tidak langsung.
Dan seterusnya saya ingin membangunkan sektor pelancongan. Terengganu ini, sebagaimana dikatakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, merupakan sebuah negeri yang terindah di Malaysia. Jadi kita hendak eksploit keadaan ini mengguna pakai apa yang telah ada untuk dibangunkan sepenuhnya.
Itu agenda kerajaan tetapi apa yang dianggap penting dan satu keperluan segera ialah Lebuh Raya Pantai Timur menghubungkan negeri ini dengan pantai barat supaya Terengganu tidak lagi dianggap “negeri paling jauh”.
IDRIS: Lebuh raya bukan satu perkara yang asing bagi rakyat Terengganu kerana dahulunya sudah ada janji daripada Kerajaan Pusat. Segala perancangan untuk melaksanakan lebuh raya di negeri ini tidak terlaksana kerana tidak ada kesefahaman dengan kerajaan Pas.
Apabila tidak ada kerjasama dan kesefahaman dan kerajaan dahulu pernah mengatakan mampu membina sendiri lebuh raya, projek itu tersekat. Insya-Allah, dengan adanya kerajaan yang sealiran dengan Pusat, projek itu akan dapat diselaraskan seberapa segera.
Bagaimana pula dengan nasib TATI dan Kusza?
IDRIS: Kita akan tingkatkan TATI dan Kusza yang ditinggalkan begitu lama sehinggakan standard dan cara pelaksanaan telah banyak rosak. Kita perlu mengangkat balik martabat dan pengurusan mereka sehingga ke peringkat sebelum 1999.
Saya juga telah berbincang dengan Petronas bagaimana TATI boleh digabungkan dengan institusi Petronas agar ada kerjasama bagi meningkatkan statusnya.
Kusza juga boleh dijadikan sebuah universiti antarabangsa. Soal pengiktirafan boleh dibincang. Ia bukan satu masalah apabila kita ada kata-kata selari dengan Kerajaan Pusat.
Sebenarnya pemikiran yang lebih terbuka itu penting. Bila ada pemikiran terbuka dan boleh menerima pandangan-pandangan orang, kita boleh majukan Kusza dengan baik. Itu bukan masalah besar. Yang menjadi masalahnya ialah apabila kita jumud dan tidak mahu membuka pemikiran kita dengan mendengar pandangan orang lain.
Bagi saya, Kusza mempunyai status yang mungkin digemari oleh mereka dari Asia Barat. Kita perlu menyediakan apa juga yang mereka perlukan. Kalau hendakkan asrama tepi laut, kita buat.
Dengan demikian, sektor pelancongan kita akan meningkat dengan kehadiran mereka dan kaum keluarga yang akan menziarah. Terengganu boleh menjadi satu lagi destinasi pelancongan bagi orang Asia Barat.
Ada cadangan agar cuti mingguan hari Jumaat ditukar kepada Ahad. Dari segi ekonomi ia menguntungkan kerana selari dengan negeri-negeri pantai barat dan dari segi politik boleh mengelak hari Jumaat digunakan untuk pergi mendengar ceramah politik.
IDRIS: Rakyat sudah bersetuju dan selesa dengan hari Jumaat. Jadi hendak mengubah itu memerlukan perubahan pemikiran, cara hidup dan perasaan agama yang mendalam. Bukan masalah betul atau salah kerana dalam Islam tidak mengatakan kita kena kerja hari Jumaat tapi janganlah perkara itu diperbesarkan sangat.
Keputusan pilihan raya menunjukkan rakyat mengikut arus perubahan Gelombang Biru. Namun bagaimana jika BN tewas, tentunya banyak pihak akan menuding jari kepada Datuk?
IDRIS: Memang saya bertanggungjawab sepenuhnya. Sebab itu apa yang saya lakukan bukan hanya mengikut emosi, mengikut pemikiran singkat tetapi dilakukan dengan penuh perkiraan, penuh musyawarah dengan mengambil pendapat-pendapat rakyat dan bukan pendapat parti sahaja.
Dan sekiranya keputusan saya salah, saya sedia memikul sepenuhnya tanggungjawab di atas kesalahan yang saya buat. Saya pernah kata kalau saya salah dan kalau kalah, saya letak jawatan.
Adakah ini bermakna Datuk sudah bertekad melepaskan jawatan menerajui parti setelah sepanjang empat tahun gagal mengubah keadaan UMNO dan pendirian rakyat?
IDRIS: Alhamdulillah, pengamatan yang dibuat memberi hasil yang baik. Bagi saya, itu kehendak rakyat.
Di sebalik kegembiraan, apakah yang harus menjadi iktibar kepada UMNO dan penyokong parti?
IDRIS: Kita perlu sentiasa berubah, melihat apakah kehendak rakyat, kita perlu membuka pintu hati untuk mendengar pandangan mereka dan barulah kita membuat keputusan. Kita perlu membuat keputusan yang baik untuk rakyat setelah mendapat pandangan-pandangan mereka.
Dan kita juga membuat kajian-kajian untuk memastikan apa yang perlu itu dapat dilaksanakan dengan baik.
Apa yang terlintas di fikiran Datuk di saat mengetahui BN benar-benar diberi kuasa?
IDRIS: Kita ingin pastikan kita dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna. Sebagai pemimpin di negeri yang mempunyai hampir satu juta rakyat bermakna kemenangan ini satu tanggungjawab dan amanah yang besar. Ia tidak boleh dipermain-mainkan oleh seorang pemimpin.
Jadi insya-Allah saya akan bekerja sebaik-baiknya untuk memastikan dan menterjemah apa yang pernah dikatakan dahulu tidak menjadi satu slogan atau manifesto kosong.
Rakyat jelas terbahagi dua – menyokong UMNO dan menyokong Pas. Bagaimana Datuk melihat penyatuan ini boleh berlaku?
IDRIS: Ia boleh berlaku jika kita tidak terlalu banyak bermain politik. Mungkin kita boleh katakan “we have to go beyond politics” tetapi ada keputusan yang dibuat tidak boleh dipolitikkan. Jadi bukan semuanya politik dan inilah antara perkara untuk kita menyatukan rakyat Terengganu keseluruhannya.
Saya percaya jika kita membuat keputusan tersebut, jarak yang wujud di antara orang UMNO dan Pas akan dapat didekatkan dengan baik. Kita panggil mereka untuk bermusyawarah, untuk mendapatkan pandangan dan kita laksanakan dengan baik.
Saya rasa orang Pas, apabila melihat perkara-perkara itu berlaku dengan baik, pintu hati mereka akan terbuka untuk bersama-sama dengan kita.
Antara kebimbangan awal kakitangan kerajaan ialah tindakan kepimpinan baru terhadap nasib mereka terutama yang diberi jawatan atas dasar politik.
IDRIS: Jika mereka dilantik atas dasar politik dan kebanyakannya orang luar, kita akan cari satu penyelesaian agar mereka boleh memahami kita, memahami apakah inspirasi politik kerana inspirasi politik itu berbeza.
Kita tidak boleh mempunyai agensi yang tidak memahami inspirasi politik kerana inilah kehendak rakyat sekarang. Rakyat memilih kerajaan BN. Inspirasi rakyat melihat inilah yang harus dilakukan dan caranya perlu berbeza.
Kita akan melihat siapa yang memahami. Kita juga akan membuat kajian siapa yang boleh mengikut aspirasi, boleh dikekalkan. Kalau tidak, kita perlu mengambil tindakan terhadap mereka.
Kalau tidak bertindak, agensi itu tidak akan berkesan, akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan aspirasi kerajaan.
Ada kakitangan tidak mahu pentadbiran baru ini mengambil tindakan drastik sebagaimana kerajaan sebelum ini memecat, menamatkan perkhidmatan pegawai-pegawai di agensi yang berperanan untuk kepentingan rakyat.
IDRIS: Ada yang perlu diambil tindakan drastik dan ada yang tidak. Lihat sendiri bagaimana kita menjalankan tanggungjawab sejak kita menang. Kita tidak serbu kereta Exco, kita tidak serbu Wisma Darul Iman, kita tidak serbu istana untuk menjadi Menteri Besar. Oleh kerana sikap kita yang lebih tertib, lebih bersopan santun, mengikut disiplin, ia telah dianggap dengan pelbagai cara dan lebih daripada itu, isu ini dimainkan pula oleh parti lawan untuk menunjukkan bahawa kita tidak dipersetujui oleh sultan dan sebagainya.
Inilah ketertiban UMNO. Dan ketertiban itu tidak boleh disalah anggap bahawa kita tidak akan mengambil tindakan kerana kita sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Kalau ada kakitangan atau mereka yang dilantik tidak boleh menterjemah kehendak yang dikehendaki oleh rakyat dan kalau kita perlu ambil tindakan, kita bertindak.
Maka, tidaklah oleh kerana mereka telah dilantik, kita akan teruskan jawatan mereka sehingga kita tidak boleh meneruskan tugas dan tanggungjawab kita. Kita rasa itu satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Kita akan laksanakan yang tertib seperti masuk pejabat dengan baik, berbincang dengan pegawai kerajaan tetapi jika ada tindakan diambil, itu merupakan satu ketegasan. kita tidak boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa ketegasan.
Bagaimana pula dengan dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh Pas? Ada juga dasar yang baik.
IDRIS: Mana-mana yang baik, kita ikut, mana yang tidak baik, kita baiki kerana objektifnya untuk mencari kebaikan, bukan untuk mencari apa itu Pas dan apa itu UMNO.
Sebab itu, jika ada dasar-dasar yang mereka laksanakan itu baik, kita ikut, mana yang baik untuk rakyat Terengganu, kita laksanakan.
Itu sebabnya saya kata, menurut konsep perjuangan politik, ada perkara-perkara yang kita lakukan tanpa mengambil berat sangat tentang pertimbangan politik. Mana yang perlu diambil untuk kebaikan rakyat, ia harus dilaksanakan.
Antara perkara yang rakyat kesali dan pernah disuarakan oleh pemimpin UMNO ialah tentang penjualan anak-anak syarikat. Adakah Datuk akan berusaha mengembalikan semula kepada kerajaan negeri?
IDRIS: Kita akan mengkaji. Ia tidak begitu mudah. Kita lihat apa yang dilaksanakan oleh Pas. Kita perlu kaji, kalau baik kita teruskan, kalau tidak baik, kita baiki, kita ubah. Tidak ada jawapan yang mudah kepada persoalan itu.
Kalau perlu beli balik, kita beli. Kalau tidak, tidak perlu. Kalau perlu buat baru, kita buat yang baru. Ini bukan persoalan yang boleh dijawab dalam satu minit. Ia memerlukan kajian apakah tindakan yang perlu diambil tentang syarikat-syarikat tersebut.
Apakah yang dapat Datuk katakan tentang hancurnya kubu Pas terutamanya di Besut dan Marang?
IDRIS: Rakyat sedar sebenarnya bahawa apa yang dikatakan oleh Pas itu banyak paradoksnya, banyak kesilapannya. Dulu tidak boleh sekarang boleh, dulu haram sekarang tidak, jadi tidak selari dengan jiwa rakyat. Bila tidak memerintah, ada yang jadi haram, bila memerintah, dah okey jadi tak haram.
Rakyat merasakan ini menggambarkan paradoks dan tiada keikhlasan. Pemimpin-pemimpin Pas yang dahulunya simple tetapi bila menjadi Yang Berhormat, mula menunjukkan gayanya. Rakyat juga dapat melihat mereka tidak dapat membawa kemajuan. Itulah makna pemberontakan rakyat dan rakyat mengubah.
Ramai yang agak skeptikal terhadap calon yang dipilih bertanding. Ada yang berkata UMNO mahu rakyat memilih parti dan bukan calon tetapi reaksi rakyat menunjukkan mereka memilih calon.
IDRIS: Kedua-dua perlu. Calon perlu dan parti pun perlu kerana calon itu menggambarkan parti. Memilih parti tanpa calon berkaliber, tidak dapat memastikan kemenangan Barisan Nasional.
Di samping kredibiliti parti yang telah terserlah, calon juga mustahak. Tidak boleh menekan hanya calon kerana parti juga penting. Maka sebab itu kita mengimbangkan kedua-duanya sekali.
Senario pilihan raya 2004 menampilkan gambaran yang agak berlainan daripada sebelum ini kecuali 1999. Rakyat seolah-olah membuat keputusan menyokong parti dan tidak begitu memberi pertimbangan tentang siapa calon kerana matlamat utama untuk menumbangkan Pas. Adakah Datuk bersetuju?
IDRIS: Saya tidak berapa setuju kerana kita mempunyai lineup calon yang berwibawa. Saya rasa kalau calon itu kurang berwibawa, mungkin rakyat tidak akan memilih sebagaimana yang mereka lakukan baru-baru ini.
Tidak boleh diperkecilkan calon sebagai satu faktor kemenangan. Kajian yang dibuat sebelum pilihan raya mengatakan yang penting untuk menentukan kemenangan BN selepas polisi yang baik ialah calon. Saya rasa calon memainkan peranan penting tetapi kita belum lagi membuat analisis.
Tetapi sebelum pilihan raya apabila kita buat analisis, jelas menunjukkan bahawa yang akan menentukan kemenangan ialah calon. Polisi sudah diterima oleh rakyat.
Sebelum pilihan raya, terdapat banyak harapan untuk menjadi calon oleh individu tertentu. Dan apabila diumumkan, ada hati yang terluka. Bagaimana merawat luka ini?
IDRIS: Ada yang perlu saya jumpa, saya jumpa. Yang perlu saya bercakap, saya bercakap. Tetapi yang jelas apa yang hendak dilaksanakan adalah untuk kepentingan parti. Memang ada yang tidak dapat, akan merasa terguris sedikit, tetapi kita tidak boleh mengambil hati semua pihak. Percayalah apa juga keputusan yang dibuat untuk kebaikan parti.
Pada pandangan Datuk, walaupun hati terguris, adakah perbuatan “peteh keting” berlaku?
IDRIS: Kita tengok sendirilah. Jika “peteh keting” berlaku kita tidak dapat keputusan sebaik ini. Ia terjawab dengan sendirinya.
Maknanya, ia tidak berlaku?
IDRIS: Ada tetapi tidak besar. Tidak boleh menjadi satu faktor besar. Malangnya, saya dukacita ada orang berkata “peteh keting” itu adalah satu perkara besar yang boleh berlaku tetapi ia jelas tidak sebegitu.
“Peteh keting” memang ada tetapi ia tidak sekuat yang dikatakan. Peteh keting sudah menjadi teori lapuk dan tidak perlu diulang-ulang lagi.
Dengan berlakunya peralihan kerajaan negeri, rakyat juga akan buat perbandingan di antara BN sekarang dan Pas dahulu dan tentunya rakyat memilih pendekatan Islam yang hendak ditekankan oleh Pas. Sebabnya imej UMNO selalu dikaitkan dengan kepentingan diri, kroni. Bagaimana Datuk melihat ini?
IDRIS: Menterjemahkan semua yang negatif adalah tidak betul kerana UMNO telah berubah dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Imej UMNO berubah dengan imej yang transparent, lebih terbuka dan tidak perlu saya ulang-ulang perkara yang lama.
Untuk mempunyai sebuah kerajaan yang mempunyai kredibiliti, UMNO tidak perlu mengatakan terbukti rakyat memilih kita kerana kita dilihat lebih bersih daripada Pas. Jadi mengapa UMNO sahaja dituduh dan Pas tidak?
Tetapi apabila Pas memerintah, imejnya lebih teruk lagi sebab itu rakyat menolak Pas. Jadi tidak adil untuk menuduh UMNO mempunyai imej sebegitu. Sekarang ini rakyat memilih UMNO kerana UMNO lebih bersih daripada Pas. Sepatutnya tuduhan itu diberikan kepada Pas dan tidak kepada UMNO.
Satu perkara yang paling menarik ialah Datuk selalu terdengar berkata UMNO Terengganu tidak mahu lagi bercakap tentang kemenangan tetapi keyakinan mendapat majoriti dua pertiga. Atas asas apakah Datuk meletakkan keyakinan itu?
IDRIS: Pengalaman sebagai seorang ahli politik, pengalaman menghadapi rakyat, pengalaman melalui kajian-kajian yang telah kita buat, pengalaman sikap rakyat terhadap kerajaan negeri.
Bila digabungkan semuanya ia menjadi jelas sehingga saya berani menyatakan keyakinan demikian. Sebab itu saya kata kita menang sejak tahun 2002 lagi tetapi orang tidak percaya. Saya tidak boleh meyakinkan orang sebelum pilihan raya.
Tahun 2003 saya menyatakan kita akan menang dengan kemenangan hampir dua pertiga majoriti tapi orang masih tidak percaya. Saya tidak boleh mengatakan orang perlu percayakan saya.
Tetapi alhamdulillah, apa yang saya kata telah diterjemahkan melalui keputusan pilihan raya.
Tetapi Pas tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya ini.
IDRIS: Biasalah, itu biasa. Parti politik tidak akan mengiktiraf apa yang dikatakan oleh parti politik yang lain.
Ada yang berpendapat untuk menang pilihan raya senang tetapi untuk mengekalkannya susah. Apa pendapat Datuk?
IDRIS: Tidak senang untuk memenangi pilihan raya. Saya rasa untuk mengekalkan kemenangan lebih mudah daripada untuk menang. Ini kerana dahulu kita kerja tanpa kuasa tapi sekarang bekerja dengan kuasa. Tapi kita perlu bekerja dengan penuh tanggungjawab, dengan penuh amanah, penuh disiplin dan bekerja kuat untuk rakyat.
Saya percaya dalam empat atau lima tahun akan datang, kita akan menang dengan majoriti yang lebih baik daripada sekarang.
Adakah bererti kita kalah dalam pilihan raya tahun 1999 kerana kita tidak bekerja keras?
IDRIS: Banyak faktor lain. Faktor UMNO yang perlu berubah menurut masa, faktor kepimpinan dan banyak lagi yang perlu dilihat. Sekarang kita berkuasa. Bila kita berkuasa kita mendengar pandangan rakyat, apakah kehendak rakyat, kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.
Kalau kita melaksanakan tugas dengan baik, tidak ada sebab kenapa rakyat harus menolak. Rakyat menolak kita kerana kita tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik, tidak amanah.
Sekarang kita ada kuasa, pegawai kerajaan tidak akan menolak kita. Kita harus panggil mereka untuk berbincang, turun ke padang melihat apakah masalah rakyat, bangunkan negeri, mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan industri pelancongan, pendidikan diberikan tempat sewajarnya.
Kalau ini semua terlaksana, tiada masalah dan tiada sebab mengapa rakyat harus menolak kita. Kalau kita tidak melaksanakan tugas dengan baik, tidak mendengar rungutan rakyat, buat kerja sesuka hati, angkuh, sombong, rakyat akan menolak kita. Senang sahaja, ia bukan sesuatu yang aneh.
Apakah yang Datuk harapkan untuk melihat Terengganu semasa di bawah kepimpinan Datuk ini?
IDRIS: Saya ingin melihat Terengganu yang lebih cemerlang dan dalam masa 10 tahun akan datang. Kita akan melihat perubahan drastik yang akan berlaku di mana sektor pendidikan akan menjadi lebih terserlah, rakyat lebih cerdik, sektor pelancongan berkembang, peluang pekerjaan bertambah.
Insya-Allah kita akan melihat akan lahir nanti rakyat yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam masa yang terdekat.