Kerajaan sewajarnya bertindak lebih bijak dalam menjelaskan isu berkaitan penjualan air zamzam di negara ini.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, isu sebenar berkaitan air zamzam hanya berkenaan kebersihan dan ketulenan, justeru prosedur membawa masuk bekalan itu yang sepatutnya dijelaskan.
Menurutnya, kerajaan sewajarnya menyemak prosedur membawa masuk air zamzam dan mungkin boleh mengaplikasikan prosidur membawa masuk air itu sama dengan yang diguna pakai pengimport air mineral lain.
“Apa yang saya nampak KKM (Kementerian Kesihatan) mungkin bimbang soal kebersihan dan ketulenan air tersebut.
“Ada air zamzam yang dibawa masuk adalah bersih dan tulen, ada juga yang mungkin tercemar dan tidak tulen. Soalnya bukan air zamzam tetapi isu bagaimana ia dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Zubaidi sebelumnya mengulas rasa kurang senang masyarakat Islam berhubung isu pengharaman jualan air zamzam baru-baru ini.
Sementara itu tambah Zubaidi, KKM boleh mensyaratkan hanya beberapa pihak tertentu yang dibenarkan untuk membawa masuk air tersebut mengikut prosedur sepatutnya.
“Kemudian apabila prosedur sudah dapat dipatuhi dan ditambah baik, boleh dibuka kepada syarikat-syarikat lain bagi mengelakkan monopoli untuk membawa masuk bagi memastikan tahap kebersihan dan ketulenan air zamzam,” jelasnya. – RF8 Media