Calon Menteri Pendidikan yang baharu wajar dibincangkan dalam forum Pakatan Harapan (PH) seperti Majlis Presiden dan sebagainya bagi memilih calon terbaik.
Menurut ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew hal itu bukan untuk menafikan hak mutlak Tun Mahathir selaku perdana menteri dalam menentukan menteri kabinetnya tetapi bagi membuka cadangan kepada beberapa calon yang dilihat berpotensi serta tidak akan mencetuskan banyak kontroversi.
“Majlis Tertinggi PH patut mengadakan satu perbincangan mengenai siapakah yang akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Ini adalah langkah yang betul sebab PH adalah satu koalisi yang adil dan demokratik,” katanya yang juga merupakan Setiausaha DAP Selangor dan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan.
Ronnie turut menegaskan sesiapa yang memberi kenyataan bahawa perlantikan jawatan tersebut tidak perlu dibawa ke meja rundingan perlu memikirkan semula pendapat itu bagi memastikan imej PH lebih positif pada mata rakyat di masa hadapan.
“Walaupun PPBM hanya memenangi 13 buah kerusi dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), PKR dan DAP yang telah memenangi jauh lebih banyak kerusi (masing-masing lebih dari 40 buah kerusi) telah bersetuju secara ‘gentleman’ bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad dari PPBM memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 tahun.
“Ini membuktikan bahawa amalan ‘konsensus’ atau ‘persetujuan bersama’ adalah amalan yang dipraktikkan oleh PH.
“Ini juga bererti walaupun calon Menteri Pendidikan akan datang dari PPBM, ‘feedback’ atau pandangan dari semua rakan koalisi amat diperlukan sebelum menteri tersebut dilantik,” katanya lagi.