Pembaharuan yang tidak banyak kelihatan dalam era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) berikutan kesukaran yang terpaksa ditempuh dari segi ekonomi dan pentadbiran.
Justeru, PH memerlukan lebih dua tahun, seperti kata Tun Mahathir baru-baru ini, untuk melengkapkan janji manifesto pilihan raya umum ke 14 lalu sebelum dihakimi rakyat kejayaan atau kegagalannya.
Sehubungan itu, penganalisis politik menyarankan agar rakyat menunggu tempoh yang diperkatakan untuk melihat perubahan yang mahu diperkenalkan.
Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata jangka masa dua tahun memperlihatkan betapa seriusnya masalah yang melingkari kerajaan dan rakyat pula kurang memahami bentuk perubahan.
“Ini kerana rakyat hanya memberi memberi perhatian kepada isu membabitkan mereka seperti isu pinjaman pelajar Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN), meneruskan pemberian wang bantuan, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan kenaikan gaji (kos sara hidup),” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Penganalis politik itu berkata permintaan tersebut memang boleh dibuat dengan mudah namun pelaksanaannya memerlukan perubahan dalam cara kerajaan berfungsi.
Ia merupakan cabaran utama PH yang mewarisi masalah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN), selain penentangan kelompok Melayu pembangkang, katanya.
“PH mewarisi kerajaan yang mempunyai masalah sangat serius dan berdepan cabaran operasi perbelajaan awam yang menelan hampir keseluruhan hasil kerajaan dan mereka masih perlu melaksanakan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Pada masa sama PH berdepan dengan tentangan kuat daripada pembangkang Melayu yang menggunakan isu agama bangsa dalam mengkritik kerajaan,” katanya.
Namun hala tuju perdana menteri sangat jelas dalam menangani kelemahan dan memperbaiki kecekapan kerajaan dalam melaksana polisi dan mengurus perbelanjaan dan kewangan negara.
“Cuma hala tuju itu dikaburi dengan isu politik,” katanya mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa rakyat akan sedar kerajaan telah menetapkan hala tuju negara yang betul dalam tempoh dua tahun.
Perdana menteri dalam coretan di blognya minggu lalu meminta rakyat memberikan lebih masa kepada kerajaan untuk meletakkan negara kembali ke landasan yang betul dan menyokong dasar kerajaan.
Manakala penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi pula menganggap tempoh dua tahun agak rasional berbanding ulang tahun pertama PH sebelum ini.
“Setahun terlalu singkat untuk membaiki segala permasalahan negara dan tiga tahun belum bermula lagi,” kata pensyarah kanan Akademi Pengajian Melayu itu.
Awang Azman berkata secara asasnya hala tuju PH boleh dilihat namun rakyat berasa perubahan yang diharapkan itu tidak berlaku dengan cepat.
Beliau berkata rakyat juga dapat melihat kerajaan menangani pembaharuan institusi dengan baik namun tidak dilaksana dengan menyeluruh seperti dijanjikan.
“Ya dalam reformasi institusi ada nampak seperti undi umur 18 tahun. Namun pelantikan jawatan utama Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih tidak melalui jawatankuasa Parlimen seperti dijanjikan.
“Begitu juga (usaha mengawal) dana pembiayaan pilihan raya terus menyepi kerana dilihat kurang menguntungkan parti politik yang tidak biasa dengan cara telus dan integriti,” katanya.
Selain itu, rakyat juga melihat dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) kurang pengkhususan dan agenda pelaksanaannya tidak dapat dilihat secara menyeluruh.
“Jadi rakyat menjadi pesimis dan melihat WKB 2030 hanya akan berakhir seperti Wawasan 2020 sebagai instrumen politik untuk menangguhkan perhatian hasil kejayaan dalam tempoh kepimpinan yang ada,” katanya.