Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hassan Ali yang tidak mengiktiraf polisi dasar Negara Berkebajikan PAS sebagai memperkecilkan polisi parti itu.
Katanya, Negara Berkebajikan telah diputuskan dalam Muktamar PAS, sekiranya Hasan tidak bersetuju maka beliau perlu membuat keputusan mengenai masa depannya di dalam parti itu.
“Saya sifatkan kenyataan Dr Hassan semalam sebagai perisytiharan menolak Negara Berkebajikan yang telah dipersetujui dalam muktamar PAS
“Beliau menolak ucapan dasar Presiden PAS. Dasar itu juga telah dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS, Majlis Syura Ulama, Dewan Pemuda, Muslimat dan ahli PAS keseluruhannya. Dia telah isytihar hilang kepercayaan dan tolak dasar PAS
“Bagi saya selaku orang yang ada PhD dan pakar motivasi dia perlu buat keputusan mengenai masa depan dirinya dalam parti,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.
Menjawab soalan wartawan, dakwaan Hasan bahawa PAS telah berubah dan tidak berjuang seperti mana dahulu Mahfuz menyindir, sekiranya Hasan tidak yakin dengan perjuangan PAS maka beliau perlulah berundur.
“Dulu (Ketua Penerangan Umno) Ahmad Maslan juga pernah kata PAS sudah tidak seperti dahulu. Tetapi waktu dahulu Umno sering kutuk perjuangan PAS. Mana satu yang betul.
“Bagi Dr Hasan jika beliau kata PAS telah tergelincir maka untuk apa dia tunggu lagi dalam PAS. Sepatutnya hal-hal yang dia tak puas hati, dia boleh utarakan dalam mesyuarat tetapi dia sendiri jarang datang mesyuarat dan tidak pula kemukakan hal seperti itu,” katanya.
Mahfuz menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengusir Dr Hasan Ali sebagaimana yang dilapor media namun kritikan Dr Hasan telah melewati zon sensitif dan mempertikaikan dasar parti. Katanya, jika benar Dr Hasan ingin berjuang untuk Melayu sebagaimana yang dikatakannya isu yang lebih penting adalah kerajaan BN membuli pekerja perkhidmatan awam yang majoritinya Melayu, bukan isu beliau tidak menerima Negara Berkebajikan.