Pakatan Harapan akan menunaikan salah satu janji penting dalam manifesto pilihan raya umum ke 14, iaitu mengurangkan kadar tol.
Walaupun kabinet memutuskan tidak akan menjual Plus Malaysia Bhd (Plus) bagi mengurangkan kadar tol sebagaimana bidaan syarikat yang ingin membelinya tetapi kerajaan memberi arahan agar PLUS mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus dan tidak meningkatkan kadar tol sehingga ke hujung tempoh konsesi.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata kaedah tidak menjual syarikat konsesi PLUS yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan adalah cara terbaik untuk mengawal harga tol lebuh raya terpanjang di Malaysia itu.
“Akhirnya kerajaan memutuskan kaedah terbaik ialah tidak menjual Plus kepada sesiapa, sebaliknya mengekalkan ia dengan Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya dipetik Malaysiakini selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kuala Lumpur.
Tun Mahathir juga mengingatkan rakyat bahawa kadar diskaun tersebut akan bertahan untuk 30 tahun dan bayaran tol akan menjadi sangat rendah dalam 3 dekad akan datang berbanding kos kehidupan semasa itu.
“Ingat, 18 peratus pada kadar hari ini bermaksud dalam tempoh 30 tahun, […] kadarnya akan menjadi sangat rendah,” katanya.
Beliau juga memberitahu, tiada kenaikan kadar tol untuk semua lebuh raya kendalian Plus.
Ditanya sama ada penurunan itu akan dilakukan secara berperingkat, perdana menteri menegaskan ia akan dibuat secara langsung.
“Kita akan berikan diskaun 18 peratus,” katanya.
Ditanya bila potongan kadar bayaran itu akan dibuat, beliau menjawab: “Tahun ini.”
Plus diminiki oleh syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan sebanyak 51 peratus, manakala KWSP 49 peratus.
Sebelum ini beberapa pihak swasta tampil dengan tawaran untuk membeli konsesi berkenaan bersama janji untuk mengurangkan kadar bayaran tol.
Pengkritik pula mendakwa, kemudahan penting seumpama itu tidak wajar dilepaskan ke tangan pihak swasta.
Mahathir juga berkata keputusan mengenai Plus itu dibuat secara bersama oleh anggota kerajaan.
“Kami mengambil masa yang lama, ada banyak taklimat, ada sektor swasta buat tawaran dan bidaan juga,” katanya.