Pengundi di Kimanis perlu memberi peluang kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Datuk Karim Bujang mewakili parti yang menerajui kerajaan negeri ketika ini.
Beliau berkata, rakyat dan pengundi Kimanis mesti menyokong calon mewakili parti kerajaan demi kesinambungan pembangunan untuk kepentingan mereka.
“Di Sabah kita memerlukan politik pembangunan. Kita mahu menyokong kerajaan untuk membantu rakyat terutama kawasan-kawasan yang memerlukan pembangunan.
“Sabah masih jauh ketinggalan terutama pembangunan di kawasan luar bandar. Justeru dengan adanya wakil rakyat dari parti kerajaan, maka pembangunan untuk rakyat dapat dirancang dan direalisasikan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Sebaliknya Barisan Nasional (BN) dan UMNO kini adalah parti pembangkang. Calonnya tidak dapat membawa apa-apa pembangunan ke kawasan Kimanis sekiranya pengundi Kimanis memilih BN,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu.
Tambah Hajiji lagi, calon BN dan pemimpin UMNO hanya membuat janji-janji manis yang tidak dapat mereka tunaikan kerana mereka bukan dalam Kerajaan.
“Apa yang pembangkang boleh buat untuk rakyat Kimanis sekiranya diberi mandat? Yang nyata pada masa sekarang BN dan UMNO tidak mampu membawa apa-apa perubahan untuk rakyat dan kawasan parlimen Kimanis.
“Justeru saya mengingatkan rakyat Kimanis agar pentingkan masa hadapan. Pilihlah calon WARISAN kerana hanya wakil rakyat dari parti kerajaan sahajalah yang mampu mengubah keadaan dan membela nasib rakyat,” jelasnya.
Seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka esok.
Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 68 saluran akan dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang bagi membolehkan pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar.
BACA:Calon Warisan dijangka ranap kubu kuat BN
Ilham Centre baru-baru ini membuat rumusan bahawa Karim Bujang mampu menang dengan selesa dan meranapkan satu lagi kubu kuat Umno di Sabah.