Berikutan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini, Kerajaan Negeri Melaka bakal meneroka sumber air baharu.
Ketua Menteri Adly Zahari berkata, langkah itu bagi menampung keperluan bekalan yang dijangka bakal menyusut.
Satu dari langkah tersebut jelasnya ialah dengan memanfaatkan air mentah dari Sungai Linggi di Alor Gajah dan kajian terperinci mengenainya sedang dilaksana secara bersama dengan Badan Kawal Selia Air (BKSA).
“Ketika ini, air Sungai Linggi mengalir ke laut sahaja dan ia tidak dimanfaatkan, daripada kita membiarkannya, lebih baik kita gunakan sepenuhnya untuk keperluan rakyat. Ini adalah antara inisiatif yang kita akan lakukan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu program sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini pada Sabtu.
Selain itu jelasya, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan jangka pendek melalui jalinan kerjasama ketika berhadapan krisis air dengan mendapatkan bantuan sumber air terawat dari negeri jiran iaitu Negeri Sembilan dan Johor.
“Kita akan sentiasa bekerjasama dengan negeri lain bukanlah mengharapkan mereka tetapi saling bantu membantu, jika kita pulih daripada masalah ini, kita pula akan bantu negeri lain begitu juga sebalikya, kerana ada negeri tidak mengalami masalah itu berikutan mempunyai takungan air yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Adly menasihatkan orang ramai supaya melakukan persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya bagi menghadapi catuan bekalan air. – RF8 Media