Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkuasa mengambil langkah menjamin kesihatan rakyat dari penularan wabak Koronavirus yang mula tersebar dari wilayah Wuhan di China.
Gesaan itu dibuat Anwar susulan kebimbangan orang ramai berhubung peningkatan kes itu di China termasuk beberapa negara seperti Singapura, Thailand dan negara lain.
“Saya mengambil maklum terhadap penularan koronavirus di Malaysia selepas ia meragut 41 nyawa setakat hari ini di China.
“Ketika ini semua pengunjung ke Malaysia, terutama dari China perlu dipantau.
“Saya menggesa semua pihak untuk mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, selain membawa penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar turut menasihati orang ramai mengikut arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung koronavirus ini dari terus merebak.
Selain itu, Anwar mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan agar wabak ini dapat diatasi dengan segera.
Terdahulu, satu kertas kajian yang diterbitkan oleh Journal Of Medical Virology menyatakan wabak yang sedang melanda Tanah Besar China ini didakwa berpunca daripada daging binatang di pasar eksotik di Wuhan.
Pegawai kesihatan China yang dipetik laporan media mengenal pasti Pasar Huanan Seafood yang menjual pelbagai daging haiwan eksotik di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi dimana penyebaran wabak ini bermula.
Antara haiwan-haiwan yang terdapat di pasar basah tengah bandar Wuhan ini adalah musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak, unta dan banyak lagi.
Pihak berkuasa percaya, wabak ini bermula dari ular kepada manusia. – RF8 Media