Lima kertas siasatan telah dibuka berhubung penyebaran khabar angin dan berita tidak sahih mengenai penularan koronavirus menerusi laman media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan itu melibatkan empat kertas siasatan berkaitan empat kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook.
Mnakala satu lagi adalah berita palsu yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Antara pemilik akaun Facebook yang disiasat adalah Ibu Yati, Mr Kong Tuck Wah, Roti Sardeen dan Gabungan Anak Terengganu (Original).
“Kita turut menyiasat penularan berita palsu yang disebarkan melalui WhatsApp berkaitan kematian banduan secara mengejut di Penjara Sandakan, Sabah yang didakwa berpunca daripada virus berkenaan,” kata Huzir melalui satu kenyataan media.
Menurutnya lagi, semua kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador awal minggu ini memberi amaran supaya maklumat palsu yang menakut-nakutkan orang ramai berhubung wabak koronavirus baharu di negara ini dihentikan.
Tegasnya, perbuatan tidak bertanggungjawab individu tertentu dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sekarang terlalu ramai sangat ‘doktor pakar’ dalam kalangan masyarakat kita, ada ‘doktor separuh masak’ yang mengeluarkan pendapat sendiri.
“Entah daripada mana sumber diperoleh tidak diketahui asal-usulnya selepas itu disebar secara meluas sekali dengan memberi nasihat untuk menakutkan orang ramai,” katanya.