Kerajaan Malaysia memperlihatkan ketegasannya dengan menghantar pulang 14 pelawat warganegara China dari Wuhan pada hari Selasa.
Tindakan itu sesuai dengan penggantungan urusan imigresen ke atas pelawat dari Wuhan dan Hubei yang diumumkan Putrajaya berikutan merebaknya wabak koronavirus di kawasan tersebut
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang bercakap kepada media di Bukit Aman pagi tadi berkata semua 14 pelawat terbabit dihantar pulang mengikut prosidur operasi standard (SOP) imigresen.
“Pada 28 Januari, seramai 14 warga China yang berkunjung ke Malaysia tidak dibenarkan masuk selepas kami mengeluarkan arahan tidak membenarkan sesiapa dari Wuhan atau Hubei masuk ke negara ini.
“Kami menghantar mereka kembali ke China mengikut SOP,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Minggu lalu, Pejabat Perdana Menteri berkata warga China dari Hubei, di mana ibu kotanya ialah Wuhan, dilarang masuk ke Malaysia buat sementara waktu.