Semua lima individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus telah ditahan pihak berkuasa.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan baki empat lagi individu yang dicari bagi membantu siasatan selepas lima kertas siasatan berhubung kelakuan itu dibuka.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, keempat-empat serbuan itu telah dijalankan secara berasingan oleh PDRM dan SKMM iaitu dua di Melaka, satu di Kedah dan Pahang.
“Dalam operasi yang dijalankan di antara jam 11 pagi hingga 5 petang hari ini, PDRM dan MCMC telah menahan suspek-suspek terlibat untuk merakam keterangan mereka.
Seorang tutor berusia 49 tahun dilapor ditahan di Alor Setar, manakala dua pembantu farmasi berusia 25 dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, Melaka pada jam 4 petang semalam
“Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berumur 24 tahun pula ditahan pada jam 4.15 petang di Kuantan, Pahang kerana disyaki telah berkongsi kandungan palsu di laman Twitter pada 27 Januari,” menurut kenyataan tersebut.
Pada Selasa, SKMM menahan seorang suspek berusia 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bang bagi membantu siasatan terhadap satu status dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari lalu.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sementara itu, SKMM bersama-sama PDRM akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan dalam mengawal penyebaran berita palsu demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam.
Tindakan menyebarkan berita palsu mencetuskan rasa gelisah dikalangan rakyat negara ini. – RF8 Media