Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen, secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri ke-8.
Sokongan itu dinyatakan beliau dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Harapan (PH) Sarawak semalam.
“Agenda utama kita ialah menyokong Anwar sebagai perdana menteri berikutnya. Oleh sebab itulah kita memutuskan untuk menjemput Anwar ke acara hari ini untuk menyatakan sokongan kepada beliau,” katanya dipetik FMT.
Turut hadir ialah ahli Parlimen Saratok Ali Biju, ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, ahli Parlimen Julau Larry Sng, ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii dan Adun Padungan Wong King Wei.
Ketika ditanya pemberita selepas majlis itu, sama ada Anwar akan melantik menteri kabinet dari Sarawak sebagaimana dilakukan Tun mahathir, presiden PKR itu hanya memberi komen untuk menanti sehingga beliau menjadi PM.
“Biar saya jadi perdana menteri dahulu dan selepas itu soalan tersebut akan dijawab,” katanya.
Menurut janji yang dipersetujui pimpinan PH, Anwar akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada satu tarikh yang tidak ditentukan selepas gabungan politik itu berjaya menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum lepas.