Pas berpotensi mencatat sejarah sebagai parti yang mencadangkan usul ‘songsang’ di Dewan Rakyat
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan usul undi percaya ke atas perdana menteri (PM) Tun Mahathir yang akan dibentangkan Pas dalam sesi Dewan Rakyat pada Mac depan sebagai tidak wajar dan tidak pernah dibuat oleh pihak pembangkang
Katanya, pembangkang biasanya akan melancarkan usul tidak percaya ke atas ketua eksekutif, bukan menyokong musuh politik.
Lebih menghairankan, menurut Guan Eng, Pas sebelum ini beberapa kali menentang usul kerajaan seperti mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang dibawa oleh PM Tun Mahathir.
“Saya tidak faham kenapa (Pas usulkan) undi percaya apabila mereka tidak mahu sokong usul yang dibuat perdana menteri (di Dewan Rakyat) dalam beberapa perkara berkaitan Sabah dan Sarawak untuk memulihkan status mereka.
“Undi percaya biasanya datang daripada kerajaan, bukan daripada pembangkang, terbalik lagi. Jadi nampaknya agak songsang kita lihat gelagat Pas,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Pas semalam mengumumkan akan melakukan usul menyokong Dr Mahathir bagi membuktikan PM itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ia muncul sewaktu timbul desas-desus Pas dan Umno akan menyokong Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai perdana menteri bagi mengelak jawatan itu diserahkan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Ia turut berkaitan dengan dakwaan satu gabungan baharu sedang diusahakan dengan nama Pakatan Nasional, melibatkan Bersatu, Umno dan Pas.