Usul Undi Percaya kepada PM Tun Mahathir hanyalah muslihat Pas mahu memecah belahkan Pakatan Harapan.
Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usul itu dibuat bagi memastikan PH bercelaru dan tidak utuh dalam menghadapi pilihan raya umum ke 15.
“Pas biasalah. Itu usul Pas, kita tidak anggap itu perkara yang serius. Itu hanya usaha untuk pecah belahkan (PH).
“Dia (Pas) akan gagal. Dia gagal dalam pilihan raya dan ini strategi (baru) dia. Kita tidak akan tertipu,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Mengulas perlukah mesyuarat Majlis Presiden PH membincangkan usul itu, Anwar menolaknya kerana tidak mempunyai sebarang asas.
Jelasnya, tindakan Pas menyokong kepimpinan perdana menteri canggung kerana perkara tersebut tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi.
“Saya tidak fikir ia wajar dibincang dalam Pakatan Harapan. Tiada asas. Tidak pernah berlaku dalam sejarah (pembangkang bawa usul sokong perdana menteri), tetapi inilah Pas,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan Pas akan membawa usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.
Pas kemudiannya membawa cadangan tersebut ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Perunding Muafakat Nasional malam tadi untuk dimaklumkan kepada rakan sekutunya Umno.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan pendirian Umno berhubung perkara tersebut hanya akan dibuat bila tiba masanya usul tersebut dibentangkan.