Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat usaha terancang mengambil Akuan Berkanun dalam kalangan ahli-ahli parlimen bertujuan menyokong Tun Mahathir untuk meneruskan tugasnya sehingga akhir penggal.
Bagaimanapun kenyataan media sejurus berakhir pertemuan beliau dengan Dr Mahathir semalam menegaskan PM tidak terlibat dalam usaha berkenaan. Anwar sebalinya mendakwa usaha itu digerakkan oleh Pas, Umno dan segelintir pemimpin PKR yang tidak setia kepadanya.
“Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada Pas, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.
“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Sarawak Report mendakwa anggota parlimen Umno, Pas, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD).
Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.
Sarawak Report juga memetik “khabar angin” bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan mencukupi.
Dalam kenyataannya, Anwar menegaskan beliau cenderung Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini.
“Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini,” katanya.