Gembar-gembur penyokong PM Tun Mahathir telah mendapat 138 ahli parlimen yang menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong kepimpinan beliau sehingga tamat penggal tidak akan menjejaskan peralihan kuasa yang diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian PH dan kesediaan Tun Mahathir untuk berundur adalah lebih penting biar pun penyokong PM berkenaan terdapat dalam kalangan segelintir ahli parlimen PKR.
Bagaimanapun apabila ditanya sama ada tahu identiti anggota parlimen partinya yang terlibat, Anwar berkata: “Saya tak tahu, tapi semua nafi.”
“Tak apalah, soalnya pendirian parti, pendirian PH yang sokong Mahathir (sebagai) perdana menteri ketujuh dan Anwar perdana menteri kelapan. Itu pendirian parti dan PH,” katanya dipetik.
Namun Anwar menolak untuk membayangkan tindakan yang akan diambil kepada pemimpin PKR yang membelakangkan beliau. Sebaliknya Anwar menjawab, pemimpin itu perlu menjawab kepada pimpinan PKR dan PH pada masa akan datang.
Anwar membangkitkan penglibatan anggota parlimen PKR itu dalam isu akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri, dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan dengan Mahathir pada 13 Februari lalu.
Menuruta anggota parlimen Port Dickson itu, ia melibatkan “PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR.”
Parti komponen PH mencapai konsensus berhubung peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar sebelum PRU ke-14, tetapi setakat ini tiada tempoh yang khusus ditetapkan untuknya berlaku.
Baru-baru ini Mahathir mengulang komitmen untuk meletakkan jawatan selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November 2020.
Anwar pula sebelum ini menyatakan Majlis Presiden PH akan bermesyuarat pada 21 Februari ini untuk memuktamadkan perkara itu.