Ketua Pembangkang yang digantung Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keadaan di Malaysia amat pincang dan tidak mustahil perubahan politik ala Asia Barat akan merebak ke negara ini.
Hal itu ditegaskan beliau dalam ceramah Pelancaran Bantah Saman Ekor anjuran KASE semalam di Dewan Muhibbah, Taman Bolton Batu Caves, Selangor.
Bagi Anwar, situasi di Malaysia biar pun tidak separah di Mesir dan Algeria yang mana rakyatnya amat miskin namun tetap menekan rakyat negara ini dengan kenaikan harga barang keperluan harian dan ditambah pula dengan tindakan kerajaan yang akan mengutip saman ekor sejumlah RM15 juta dari 4 juta pemilik kenderaan mulai Mac ini. Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai rompakan kepada rakyat oleh penguasa yang korup. Wang korupsi pula dibawa keluar dan disimpan di luar negara.
“Malaysia antara negara paling banyak wang haram mengalir keluar. Wang haram dihasilkan dari aktiviti korupsi dan pengelakan cukai. RM200 bilion telah dibawa keluar.
“Saya bukan membuat fitnah tetapi ini laporan Global Financial Integrity. Mustahil orang tidak nampak tetapi tidak mustahil kerana bank-bank di Malaysia milik mereka (boleh memindahkan wang keluar dengan mudah). Sepatutnya kerajaan panggil Bank Negara, EPU dan agensi kerajaan terlibat, kesan wang ini dan minta dipulangkan. Bukan senyap sahaja.
“Apabila kita memperkenalkan Buku Jingga, Najib dengan angkuhnya menyatakan negara akan bankrap jika melaknakan polisi ekonomi berkebajikan. Mana ada negara yang bankrap kerana tolong rakyat miskin. Di Tunisia (rusuhan bermula) seorang penjual sayur dihalang berniaga, anak isteri mahu duit untuk makan di rumah, dia hilang pertimbangan lalu membakar diri. Namun Presiden Ben Ali yang melarikan diri keluar negara mempunyai kekayaan A.S$ 20 bilion. Rakyat sudah cari makan tetapi penguasa kaya-raya.
“Di Malaysia siapa kaya. Anak Mahathir, Mokhzani, adik Najib, Nazir. Sistem sama, kayakan anak, isteri dan kaum keluarga. Apabila tidak ada duit, kutip saman ekor, paksa rakyat bayar tetapi (dalam masa sama) beri subsidi kepada (syarikat besar) IPP,” katanya.
Anwar juga mengecam perbicaraan kesnya di mahkamah. Katanya, tiada mahkamah di dunia yang akan menerima kes bercanggah antara keterangan saksi dan bukti melainkan mahkamah di Malaysia.
“Ketika peguam Karpal Singh tanya; Ada buat report, jawabnya Ada. Check lobang. Ada. Ada bocor. Tak ada. Tiga hari setelah buat report tak ada bukti masukan.
“Begitu juga laporan perubatan, pihak pembela dinafikan hak untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa. Mengapa tidak ada media arus perdana yang siarkan berita ini. Kes pertama di dunia laporan doktor tidak boleh didapati. Kamu tuduh saya, kamu kena bagi bukti. Ini laporan doktor simpan di hospital. Tidak mahu bagi,” bidasnya.
Dalam keterangan saksi pendakwa pada 16 Februari lalu, berlaku percanggahan antara tuduhan meliwat dan cubaan meliwat. Dalam laporan doktor Saiful tidak menyatakan dia diliwat tetapi cubaan meliwatnya.
“Doktor jadi saksi, peguam saya beri mereka tengok laporan (laporan mangsa kepada pegawai perubatan). Tanya setuju, jawabnya setuju. (Tetapi) dalam laporan itu tidak ada tuduhan meliwat. Saiful tuduh cubaan meliwat. Tetapi (bagaimanakah) saya didakwa (di mahkamah) meliwat? Dalam dunia lain dah lama kes ini dibuang, hanya dunia Najib ala Mubarak yang boleh (diteruskan),” kecamnya disambut gelak ketawa para hadirin.
Anwar menyeru rakyat bangkit melakukan perubahan besar-besaran pada pilihan raya umum akan datang sebagaimana rakan-rakan mereka menumbangkan rejim zalim di Asia Barat. Janjinya, ‘Andai Pakatan menang hari ini, esok harga minyak turun!’