Kesan kemerosotan teruk ke atas industri pelancongan berikutan wabak Covid-19 memungkinkan Kementerian Kewangan menyediakan bantuan berbentuk kewangan kepada pemain industri pelancongan bagi merangsang sektor tersebut supaya tidak terlalu terjejas.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata ia susulan sektor pelancongan dilihat mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan tempahan hotel, pakej pelancongan dan tiket penerbangan yang ketara akibat penurunan kemasukan pelancong ke negara ini.
“Kita sedang menghadapi masalah penurunan kemasukan pelancong hingga mengakibatkan sumber ekonomi juga menurun. Namun, pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan kelak akan dimanfaatkan sebaiknya oleh kementerian ini untuk membantu sektor terlibat.
“Setakat ini, apa jenis bantuan yang boleh disalurkan (kepada pemain industri pelancongan), kita sedang teliti. Mungkin melibatkan aspek kewangan. Namun, berapa jumlah yang akan diagihkan, kita akan lihat secara terperinci,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Terdahulu, Mohamaddin dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti oleh Kolej Universiti Lincoln pada majlis konvokesyen institusi itu di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro Canselor kolej universiti berkenaan, Prof Dr Bibi Florina Abdullah.
Ditanya sama ada pakej rangsangan ekonomi kerajaan itu mampu mencapai visi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), Mohamaddin berkata kementeriannya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana wabak Covid-19 adalah masalah global.
“Apabila berlakunya masalah global seperti ini, pelancong akan menjadi takut untuk keluar melancong ke negara lain. Jadi, ini mungkin menyebabkan kita tidak menepati sasaran jumlah kemasukan pelancong bagi kempen VM2020,” katanya.
Susulan wabak Covid-19 di China, kerajaan pada 27 Januari lepas memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari wilayah Hubei, termasuk Wuhan.
Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari ini, bukanlah Belanjawan baharu mahupun sebahagian dasar Belanjawan 2020, tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas.