Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diharapkan pembangkang akan memecahkan gabungan pemerintah berakhir dengan keputusan mudah, memberi sepenuh kepercayaan kepada Tun Mahathir menetapkan tarikh persaraannya.
Bagaimanapun mesyuarat menetapkan pengunduran Dr Mahathir akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November depan.
Tun Mahathir dalam kenyataannya selepas mesyuarat menegaskan PH menyerahkan kepada beliau untuk menentukan bila beliau akan letak jawatan perdana menteri.
“Ada dua pendapat pada malam ini tetapi akhirnya, dan ini saya berasa bangga, semuanya diserah kepada saya.
“Apa yang saya kata mereka akan turut, dan saya telah kata bahawa peralihan akan berlaku selepas Apec.
“Tiada masa ditetapkan, tiada tarikh, tiada apa-apa… hanya (ditetapkan) selepas Apec.
“Terpulang kepada saya, sama ada saya hendak lepas (jawatan perdana menteri) atau tak lepas. Itulah kepercayaan yang diberikan oleh parti kepada saya. Alhamdulillah,” katanya dipetik The Malaysian Insight
Mesyuarat berlangsung hampir tiga jam, berakhir menjelang tengah malam tadi.
Menurut Dr Mahathir, keputusan mesyuarat malam tadi sebulat suara.
“Ya, sebulat suara,” katanya, menjawab pertanyaan wartawan.
“Sebulat suara daripada kedua-dua belah pihak… pembangkang dan kerajaan,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata mesyuarat tidak membincangkan mengenai rombakan Kabinet dan perkara-perkara lain.
“Kita cuma hendak tentukan masa (peralihan kuasa) dan masa itu terpulang kepada saya,” katanya.
Selain peralihan kuasa perdana menteri, mesyuarat malam tadi juga membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya negeri Sarawak terutamanya soal penentuan calon supaya tidak bertembung antara parti komponen.
Dr Mahathir juga berkata PH akan mengadakan konvensyen parti, yang tarikhnya belum ditetapkan lagi.