Artis, Zed Zaidi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan menyebarkan berita palsu berkaitan koronavirus.
Bagaimanapun, Zed, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret A Akhiruddin di kamar mahkamah siang tadi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Zed atau nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil didakwa menggunakan aplikasi Twitter melalui akaun ‘rozaidijamil’ dengan niat menyebabkan kegentaran awam yang dikhuatiri mungkin terdorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Pelakon itu didakwa berkongsi berita palsu berbunyi: “berita tergempar” berbunyi: Semua negara mengharamkan pelancong China kecuali Malaysia) dengan petikan:
“Duduk malaysia pun tak selamat terpaksa pakai tutup hidung ni 24 jam dari influenza ke konovirus pula lepas ni tak tau apa bala lagi nak turun.
“Mesti Malaysia ada buat benda-benda tak baik ni… hmmm aku rasa rakyat je yang tau,”
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12.51 tengah hari 27 Januari lalu dan dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya pada jam 10.30 pagi 29 Januari lalu.
Jika sabit kesalahan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu boleh dikenakan hukuman denda atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Awal bulan ini, Zed Zaidi disoal siasat hampir tiga jam oleh Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Tindakan pelakon itu memuat naik imej tersebut mengundang kecaman ramai kerana jelas dipaparkan pautan URL aplikasi breakyourownnews.com pada imej tersebut.
Aplikasi tersebut membolehkan pengguna menghasilkan tajuk berita palsu yang dikehendaki.