Tarikh pewartaan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas dan tarikh kesalahan dilakukan punca Peguam Negara Tommy Thomas mengugurkan pertuduhan.
Beliau berkata, keputusannya untuk menghentikan pertuduhan dalam kes tersebut berdasarkan keraguan terhadap kes pendakwaan kerana peruntukan yang terdapat dalam 2 undang-undang.
Thomas juga menafikan keputusannya menarik balik pertuduhan ke atas 12 individu berkenaan sebagai mempersoalkan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini berkata, di bawah undang-undang anti pengubahan wang (AMLA) adalah menjadi budi bicaranya untuk mengisytiharkan mana-mana pertubuhan atau individu sebagai pengganas.
Undang-undang itu juga mengandungi peruntukan mengenai pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti haram.
Menurut Muhyiddin, wujud alasan kukuh bagi kerajaan mengekalkan LLTE dalam senarai kumpulan pengganas, yang merupakan isu yang berada di bawah bidang kuasa kementeriannya, bukan peguam negara.
“Menteri jelas betul. Beliau mempunyai budi bicara untuk mewarta atau menyahwartakan mana-mana kumpulan atau individu (sebagai pengganas),” kata Tommy seperti dilaporkan oleh Malaysian Insight.
Katanya, wujud keraguan berhubung kekuatan kes pendakwaan kerana peruntukan dalam AMLA dan tarikh warta notis yang menyenaraikan Harimau Pembebasan tamil Eelam sebagai kumpulan pengganas.
Beliau berkata, notis warta itu dibuat pada November 2014, tetapi pertuduhan terhadap seorang yang dituduh melibatkan aktiviti pada Mac dan Jun 2014.
“Jelas bahawa pertuduhan terhadapnya tidak boleh dipertahankan kerana pada masa itu, LTTE tidak diwartakan, yang merupakan unsur perlu bagi kesalahan,” kata Thomas.
Beliau berkata, pihak pembelaan boleh berhujah bahawa perisytiharan LTTE sebagai kumpulan pengganas mungkin tidak sah atau patut dibatalkan selepas semakan selama 6 bulan.
12 individu, termasuk 2 pemimpin DAP ditangkap pada Oktober tahun lepas dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE, yang didakwa telah berkubur selepas kempen tenteranya untuk menubuhkan sebuah negara Tamil di Sri Lanka gagal.