Spekulasi terbentuknya kerajaan Pakatan Nasional dalam masa terdekat kuat diperkatakan berikutan mesyuarat tergempar Bersatu di Petaling Jaya dan mesyuarat ahli parlimen yang menyokong Azmin Ali di hotel Sheraton, Petaling Jaya tengah hari ini.
Spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan baharu akan menggabungkan parti-parti di Sarawak dan Sabah.
Apakah yang akan berlaku kepada negara jika kerajaan baharu itu terbentuk:
Kerajaan Melayu Raya?
Gabungan PPBM, Pas, BN dan parti-parti di Sabah dan Sarawak akan berlaku. Buat pertama kali dalam sejarah negara menyaksikan kerajaan Bumiputera menguasai dari Perlis hingga ke Sabah. Maka bukan Bumiputera akan menjadi minioriti, iaitu 2 MP dari MCA dan 2 dalam MIC.
Apa terjadi kepada kaum minioriti?
Kerajaan Bumiputera pastinya sangat berkuasa untuk memastikan segala peruntukan diberikan kepada kaum Melayu. Silibus pendidikan mengutamakan kaum Melayu. Hak-hak ketuanan Melayu akan ditambah dan sebagainya. Jika hal itu tidak dilakukan maka tidak ada beza kerajaan Ketuanan Melayu dan PH. Namun sekiranya projek, tender, kuota dan lain-lain diperuntukan hanya kepada Melayu maka kaum bukan Bumiputera akan membantah.
Begitu juga kes-kes jenayah korupsi yang melibatkan bekas pemimpin BN akan diputuskan oleh kerajaan baru ini sebagai tidak bersalah. Hakim mahkamah akan diarahkan berbuat demikian. Keputusan itu akan memutar balik Malaysia ke belakang, ke era sebelum 8 Mei 2018. Rakyat pastinya akan menganjurkan himpunan jalanan membantah semua kerosakan ini.
Namun dengan suasana Melayu/Bumiputera telah mendominasi keseluruhan kerajaan tentunya akan muncul kalimat ‘Melayu pantang dicabar’. Pada zaman BN, perhimpunan baju kuning dan baju merah misalnya tidak menimbulkan pergaduhan kerana dalam BN juga banyak bukan Bumiputera.
Namun kali ini semangat Melayu berlainan. Dikhuatiri mereka tidak takut untuk menindas bukan Bumiputera yang sebahagiannya dilabel kafir harbi oleh Pas. Tidak mustahil rusuhan kaum akan berlaku.
Apakah kesannya kepada ekonomi?
Ekonomi Malaysia yang masih lembab dan pelabur lebih minat menanam modal di Indonesia, Vietnam atau Kemboja akan lebih tertekan. Pelaburan berteknologi tinggi tentunya lebih selesa ke Singapura. Pelabur sedia ada akan panik menghadapi kekacauan kaum dan menarik keluar modal.
Dalam tahun pertama – jika berlaku kekacauan Melayu, Cina, India – maka ramai rakyat Malaysia akan menganggur. Kilang ditutup, begitu juga perniagaan. Mungkin bagi Melayu mereka akan membandingkan suasana 13 Mei yang mana kaum Cina selepas itu tidak berani lagi menuntut banyak perkara dalam tempoh 30 tahun hingga 1990an.
Bagaimanapun harus diingat ekonomi Malaysia ketika itu masih lagi berasaskan pertanian dan kaum Melayu banyak menetap di kampung serta tidak mengeluh dengan kemiskinan. Namun jika berlaku kekacauan pada hari ini maka golongan peniaga Cina pasti akan berhijrah keluar berikutan arus globalisasi dan mudahnya memulakan perniagaan di mana-mana negara Asia lain. Kaum Melayu pasti akan merasai keperitan akibat kurang pekerjaan serta sukar meneruskan kehidupan di bandar yang selama ini banyak perkhidmatan disediakan kaum Cina.
Kesan segera pada tahun pertama ialah Malaysia tidak mampu memberi Bantuan Sara Hidup atau BR1M kepada rakyat kerana cukai pendapatan dan perniagaan akan semakin mengecil. Bagi yang mahukan Najib berkuasa semula kerana banyak bantuan hidup, mereka akan menyesal. Jika kerajaan mahu juga mengekalkan BR1M mereka perlu memperkenalkan semula GST dengan kadar lebih 10 peratus untuk mengumpul kewangan.
Namun adakah kaum Bumiputera mampu menghadapi gelombang inflasi sedemikian rupa akibat sikap mahu menidakkan hak kaum lain dan memonopoli semua hak bagi Bumiputera?
Pergolakan kaum
Senario ini pasti menjadikan Malaysia balik ke era 1970an. Adakah Melayu mahu kembali miskin? Jika jawapannya ‘Ya’ maka mereka boleh mencuba menyokong kerajaan Bumiputera yang dispekulasikan akan dibentuk. Mereka boleh menutup peluang Anwar Ibrahim menjadi PM ke 8 dan menolak ‘rasional’ daripada kamus kehidupan mereka.
Namun jika tidak, maka menjadi tanggungjawab semua orang Melayu memberi mesej yang jelas kepada Mahathir untuk melakukan peralihan kuasa dan bukannya membentuk kerajaan Pengkhianat Nasional.