Kerajaan Persekutuan dijangka akan melaksana misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di Wuhan China pada 25 Febuari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, misi kedua itu akan melibatkan seramai 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka dan jumlah itu adalah mereka yang sudah bersedia untuk dibawa pulang.
Ketika ini tambahnya, Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama syarikat penerbangan AirAsia sedang menguruskan beberapa isu berkatian bagi memastikan misi itu berjaya.
“Misi HADR-Wuhan kedua ini akan diuruskan sama seperti misi pertama, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semua akan melalui saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akademi Kepemimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk pemantauan 14 hari.
“Saya faham mereka berdepan dengan masalah logistik kerana ada yang bukan dari Wuhan.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan jauh dari tempat mereka dan yang ada itu memang bersedia kerana negara lain ada dua misi bantuan untuk bawa pulang (rakyat mereka).
“Ini misi kedua. Misi ketiga belum ditentukan kerana ini mungkin misi terakhir,” katanya.
Dr Wan Azizah sebelumnya mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Kluster Penyakit Covid-19 di Putrajaya semalam.
Pada 4 Februari lalu, seramai 133 individu masing-masing 107 rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan
Misi itu turut disertai 12 kru pesawat, lapan petugas misi HADR dan enam pegawai Kedutaan Malaysia dari Beijing,
Sebaik tiba, penumpang dan kru pesawat AK8264 berkenaan terus dibawa ke ADU KLIA untuk tapisan kesihatan.