Presiden PKR yang memeningkan penyokongnya sebelum ini melalui ketaat setiaanya kepada janji penyerahan kuasa dalam Pakatan Harapan (PH) semalam mengesahkan telah dikhianati oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan kawan-kawan dalam Bersatu.
Beliau berkata demikian dalam majlis zikir di rumahnya di Bukit Segambut malam tadi. Anwar bagaimanapun berkata tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai penubuhan kerajaan Pakatan Nasional selepas enam pemimpin parti politik mengadap Yang Di-Pertuan Agong petang semalam.
“Sekarang ini kita tunggu dulu maklumat. Tetapi kita tahu ada percubaan untuk jatuhkan PH untuk tubuh kerajaan baru, dan melibatkan bekas rakan-rakan kita dalam Bersatu dan segelintir yang khianat daripada PKR.
“Kita tunggu dulu, mereka ada mengadap Yang Di-Pertuan Agong petang tadi..belum ada pengumuman,” katanya yang bersiaran langsung di You Tube dan Facebook.
Sebelum itu, ketika membuka majlis Anwar berkata majlis zikir dan kuliah agama mingguan itu diteruskan walaupun ada perkembangan politik yang sedang berlaku, merujuk pada mesyuarat tergempar beberapa parti politik yang berlangsung sejak pagi.
“Kita dikejutkan pada hari ini (Ahad) dengan perkembangan… bagi kita juga satu pengkhianatan, kerana sudah janji dan sebagainya.
“Maka menyebabkan ada perubahan dan saya jangka kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat… mungkin esok walaupun tidak ada pengumuman malam ini.
“Tetapi dari segi maklumat yang saya terima, memang ada usaha demikian,” katanya.
Kuliah yang disampaikan oleh Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor
Anwar Ibrahim juga dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pukul 2.40 petang ini.
Terdapat spekulasi tujuan Agong memanggil beliau adalah bagi mengesahkan sama ada Anwar mempunyai cukup sokongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke – 8.
Versi maklumat berasingan semalam menyebut pihak Anwar telah menghantar Akaun Berkanun (SD) terlebih awal ke Istana Negara sebelum rombongan 7 pemimpin parti politik tiba pada pukul 5 petang.
Didakwa terdapat pertindihan dalam SD Anwar dan Mahathir. Beberapa ahli parlimen yang menyokong Anwar juga didapati menyokong Mahathir. Juga terdapat dakwaan daripada 18 ahli parlimen PKR yang dibawa lari Azmin, 8 daripadanya telah melakukan pusingan U menyokong Anwar.