Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Tun Mahathir biar pun diberi masa hampir dua tahun tetapi tidak mahu melaksanakan reformasi menyeluruh sebagaimana dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Hal ini kerana kerajaan yang dipimpinnya masih melindungi kapitalis besar, kroni dan taikun maka menteri gagal untuk menurunkan harga barang keperluan harian.
“Harga barang dapur seperti halia, bawang merah, bawang putih, minyak masak, sayur, daging dan ikan telah mengalami kenaikan sejurus selepas Tahun Baru Cina. Mengapa boleh berlaku begini?” tanya seorang peniaga kecil yang mahu dikenali sebagai Maimunah dari Kuala Lumpur.
Beliau amat kecewa dengan Kerajaan pimpinan Tun Mahathir yang gagal mengawal harga barang terutamanya minyak masak yang telah mengalami kenaikan sebanyak RM1 untuk botol 2kg.
Barang lain seperti sabun mandi, sabun basuh pinggan-mangkuk dan lain-lain barang kegunaan rumah juga telah mengalami kenaikan di antara 20 sen hingga 80 sen atau lebih.
“Saya berpendapat kerajaan telah mungkir janji dalam isu pengawalan atau pengurangan harga barang. Walaupun tiada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekarang, harga barang tetap tinggi.
“Saya dan ramai rakan-rakan serta saudara-mara akan terus menyokong PH tetapi kami mahu keadaan menjadi lebih baik,” sambungnya.
Beliau juga berpendapat sudah tiba masanya Anwar Ibrahim diberi kepercayaan sebagai PM Malaysia ke – 8 untuk membuktikan reformasi total yang dijanjikan PH sebelum ini.
“Halatuju yang jelas dan dasar yang inovatif dan berprihatin terhadap rakyat diperlukan pada masa kini. Dan ini hanya boleh wujud selepas peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri,” katanya lagi.