Maklumat terbaharu menunjukkan kerajaan baharu Pakatan Nasional masih gagal dibentuk hari ini. Peluang tersebut diambil oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Bagaimanapun seorang pemimpin PKR yang memaklumkan kepada portal Malaysiakini itu tidak menjelaskan sebab pertemuan berkenaan.
“Anwar akan berjumpa Mahathir di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, menjelang 9.30 pagi,” katanya.
Sebelum ini beberapa pihak menyatakan, Anwar – yang mendakwa dikhianati oleh sebahagian daripada pemimpin partinya sendiri – akan menghadapi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Semalam, sekumpulan ahli parlimen yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, dilihat berkunjung ke Istana Negara. Turut dilihat ialah beberapa ahli parlimen dari Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan.
Perkembangan itu berlaku hanya sehari selepas mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan pada 21 Feb lalu dan membincangkan isu penyerahan kuasa perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar.
Menurut Azmin, usaha membentuk kerajaan baru sedang dijalankan dan dipercayai berlaku seawal esok.
Semalam, pemimpin Bersatu bertemu dengan Mahathir di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, manakala ahli parlimen yang menyokong Azmin ‘bermukim’ di hotel Sheraton PJ.
Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata orang ramai diminta bertenang dan bersabar dengan perkembangan yang berlaku sekarang.
Hal itu kerana, katanya, ada banyak berita, khabar angin dan andaian mengenai kedudukan kerajaan PH sedang berlegar atau disebar.
“Bagi pihak pimpinan PKR, saya menggesa semua rakyat Malaysia, khususnya anggota parti, untuk bersabar dan bertenang.
“Sentiasa patuhi undang-undang negara serta jangan sebarkan maklumat tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.