Rampasan kuasa yang diketuai Azmin Ali boleh dianggap gagal mutlak apabila Umno dan Pas menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Interim Tun Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, blok pembangkang itu merupakan penyumbang utama kerusi menubuhkan kerajaan baru dengan Umno memiliki 39 kerusi dan Pas 18
Pendirian itu berikutan cadangan Mahathir mahu menubuhkan ‘kerajaan perpaduan’ dengan memasukkan sekali DAP yang tidak boleh diterima oleh kedua-dua parti itu.
“Ia bertentangan dengan perjanjian bahawa pembentukan sebuah kerajaan mesti mengambil kira parti secara keseluruhan, bukan individu.
“Cadangan (yang dikatakan) untuk membentuk kerajaan perpaduan melibatkan perdana menteri menjemput individu untuk membentuk kabinet,” kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa pada sidang akhbar semalam dengan rakan sejawatannya, Takiyuddin Hassan dari PAS.
Annuar berkata asas rundingan dengan Mahathir ialah Umno dan PAS akan memberikan sokongan mereka untuk membentuk gabungan alternatif tanpa DAP.
Justeru, kata Annuar, akuan berkanun (SD) yang dibuat oleh Umno dan Ahli Parlimen Umno dan Pas untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri tidak sah, kerana ia bersyarat.
“Maka ia bercanggah dengan pendirian parti kami maka dengan itu (ahli parlimen) yang menghadap tadi untuk tak timbul isu, terpaksa kita tarik balik SD yang dipersembahkan kepada Agong untuk beri sokongan kepada Tun (Mahathir) dan (sebaliknya) meminta agar dibubarkan parlimen,” katanya.