Pergerakan pemuda Bersatu Armada menolak usaha menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai Azmin Ali Ahad lalu dan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Interim Tun Mahathir Mohamad.
Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendirian itu diambil demi kepentingan negara.
“Mesyuarat Armada Bersatu Malaysia mengambil pendirian untuk menyokong Dr Mahathir untuk terus kekal menjadi perdana menteri Malaysia bagi mengetuai pentadbiran negara demi kemaslahatan umum dan kepentingan negara,” katanya merujuk kepada sayap Pemuda parti itu, dalam satu kenyataan.
Armada, menurutnya, menolak kerjasama dengan Umno secara en block di bawah kepimpinan Presiden Ahmad Zahid Hamidi.
“Armada menyambut baik perpaduan Melayu namun, atas dasar prinsip dan integriti, tidak mungkin kami akan bersekongkol dengan mereka yang telah mencalarkan imej bangsa Melayu dengan merompak dan mengkhianati amanat rakyat sewaktu ditampuk kuasa.
“Ini merupakan satu pengkhianatan kepada mandat rakyat dan prinsip perjuangan Bersatu,” katanya dipetik.
Sementara itu dalam sidang medianya, Syed Sadiq juga menolak cadangan PAS dan Barisan Nasional (BN) supaya diadakan semula pilihan raya bagi mendapatkan kerajaan baharu.
Syed Saddiq berkata, sayap Pemuda Bersatu mengambil pendirian supaya mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu terus dikekalkan.
“Armada mengambil ketetapan untuk pertahankan mandat diberikan rakyat pada PRU14. Armada ambil ketetapan rakyat berkuasa dan telah memilih kerajaan dan tidak benarkan pencatur kuasa tentukan hala tuju negara,” kata Syed Saddiq.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, malam tadi.
Dengan menentang rampasan kuasa tersebut dijangkakan beberapa pemimpin Bersatu akan berada di belakang Tun Mahathir dalam usaha membentuk kerajaan baharu yang mungkin diketuai oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim