Pakatan Harapan mencapai persetujuan dalam pertemuan malam tadi di ibu pejabat PKR, namun tidak mengumumkan keputusan lanjut.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata bahawa PH sudah mencapai kata sepakat, tetapi enggan mendedahkan butirannya.
“Kami sudah membuat keputusan dan akan umum esok. Kami sudah capai konsensus,” katanya.
Kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR, Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng daripada DAP dan Mujahid Yusof Rawa daripada Amanah mengelak media selepas pertemuan di ibu pejabat PKR itu selesai.
Bagaimanapun lewat malam tadi, aplikasi media sosial yang rapat dengan PH memaparkan gabungan itu memperolehi sokongan mencukupi melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 kerusi dan Warisan yang mempunyai 9 kerusi, menjadikan bilangan kerusi melepasi 112 dan memperolehi majoriti mudah.
Hal itu jelas lewat pengumuman Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof pada petang semalam bahawa kesemua 18 ahli parlimen mereka menyokong kepimpinan Tun Mahathir ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Terdapat juga poster-poster yang memaparkan gambar Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon PM dan anak Mahathir sebagai calon TPM bagi mewakili ayahnya dalam gabungan PH, GPS, Warisan dan serpihan Bersatu.
Juga berkemungkinan beberapa ahli parlimen Bersatu yang lain menyertai gabungan baharu tersebut berdasarkan keputusan mesyuarat Pemuda Bersatu malam tadi yang menolak rampasan kuasa dan menyokong Mahathir sebagai PM.