Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Perdana Menteri Sementara Tun Mahathir untuk memanggil sidang Dewan Rakyat bagi melantik Perdana Menteri.
Dalam kenyataan medianya, Majlis Presiden PH berkata Mahathir tidak wajar mendahului titah Yang di-Pertuan Agong mengumumkan sidang khas Dewan Rakyat
Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar malam tadi, menurut PH hak dan kuasa melantik seseorang perdana menteri terletak di tangan Seri Paduka Baginda, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Malah pengumuman Perdana Menteri interim (sementara) memanggil sidang parlimen untuk memilih Perdana Menteri adalah mencabar hak dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
“Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini.”
“Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam hal ini,” katanya.
Sementara itu ketika ditemui di luar mesyuarat, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu tidak membincangkan cadangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
Beliau menambah anggota parlimen masih belum menerima sebarang notis sidang khas parlimen pada 2 Mac seperti diumumkan Dr Mahathir.