Tun Mahathir masih pengerusi Bersatu yang sah dan tidak ada masalah untuk beliau menjadi Perdana Menteri dengan membawa masuk 26 kerusi milik partinya ke dalam gabungan Pakatan Harapan.
Sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan tumbang apabila hanya tinggal 92 kerusi berbanding majoriti 112 yang diperlukan.
Bagaimanapun tindakan itu cuba dihalangi oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang berpendapat Tun telah pun melatakkan jawatan dan beliau adalah pemangku Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan parti yang akan datang.
Dalam kenyataan ringkas dikeluarkan Muhyiddin selepas beliau dan rombongannya keluar dari Istana Negara sebelum ini, beliau berkata, Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Feb lalu.
“Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baru,” katanya dipetik.
Namun hal itu dinafikan melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, mengesahkan bahawa Mahathir adalah pengerusi sebenar parti berkenaan.
Menurut senator tersebut, perlembagaan Bersatu menjelaskan seorang pengerusi bertanggungjawab untuk menjadi pemimpin utama bagi menjamin kelancaran perjalanan keseluruhan pentadbiran serta dasar parti, selain memanggil dan mempengerusikan mesyuarat.
“Maka selari dengan prinsip rule of law dan perlembagaan parti, satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti ialah Pengerusi Bersatu, iaitu Dr Mahathir Mohamad.
“Oleh yang demikian segala tindak-tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Tun (Mahathir) sebagai pengerusi Bersatu,” katanya.
Untuk rekod, Mahathir masih berstatus pengerusi parti tersebut kerana peletakan jawatannya sebelum ini tidak diterima Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 24 Februari lalu.