Sifat berubah-ubah sokongan mungkin merupakan cara ahli politik senior mempertahankan survival mereka. Namun tidak begitu bagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maslzee Malik
Menurut beliau pada awalnya beliau mentaati disiplin parti, namun selepas diminta bersama dengan pemimpin Umno beliau berasa serba salah
“Setelah duduk bersama dengan para pemimpin Umno yang turut hadir dan akan membentuk kerajaan bersama yang baru, hati saya mula merasa berat. Sangat berat.
“Ada di antara mereka yang masih diselaputi isu-isu rasuah dan penyelewengan termasuk di Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, yang dahulunya puas saya berusaha membersihkan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.
“Saya bertanya kepada diri sendiri: Apakah saya bersedia untuk menerima semula mereka?” ciapnya yang sebelum ini dikenali sebagai pengkritik kerajaan yang lantang di bawah pentadbiran Najib Razak dulu.
Untuk rekod Maszlee adalah antara ahli parlimen yang dilihat menyokong Muhyiddin dalam krisis kepemimpinan negara ekoran tindakan Bersatu menarik diri daripada PH.
Bagaimanapun Maszlee kemudian hadir bersama Dr Mahathir Mohamad kemudiannya dan menyatakan sokongan kepada bekas perdana menteri ketujuh itu.
Menurut Maszlee lagi, apabila keadaan menjadi semakin rumit, beliau terpaksa memilih di antara ketaatan kepada parti dan prinsip.
“Maka saya membuat keputusan yang besar dan penting, iaitu kembali kepada para penyokong, rakan-rakan, keluarga, pengundi dan rakan-rakan seperjuangan,” ciapnya.
Kata Maszlee, beliau sudah nekad dengan pendirian sekarang dan ia adalah muktamad.
“Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan politik.
“Demi rakyat, demi negara. Biar putih tulang, jangan putih mata. Membujur lalu melintang patah. Terus berjuang dan kekal berprinsip.
“Dari rakyat kita datang, kepada rakyat kita kembali,” ciap beliau.