Ketua Umum Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim menyifatkan situasi politik sehingga tertabalnya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 sebagai rampasan kuasa.
Menurutnya, bukan sahaja rakyat Malaysia mengetahui gerakan tersebut malah seluruh dunia yang menyaksikannya mampu menterjemahkan apa yang telah berlaku.
“Orang yang berfikir bukan hanya di sini, seluruh dunia dia tahu ini (pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri baru) satu rampasan (kuasa) sama ada ikut prosedur, sama ada ikut undi ia rampasan,” katanya ketika Majlis Zikir Selawat Nuril di kediamannya.
Beliau juga mengakui proses peralihan kuasa yang sepatutnya berjalan lancar untuknya gagal akibat pengkhianat yang dilihat lebih mengejar kuasa dan wang berbanding prinsip dan janji.
“Kita mulai lentur hadapi kesukaran bila kita terpukau dengan kilauan kuasa dan harta, ini cabaran besar kita.
“Semalam kamu setuju kemudian hari ini kamu tukar sebab apa? Ugutan, wang?”soal beliau.
Bagaimanapun, kata Anwar, beliau tetap tenang menghadapi perubahan itu dan menganggapnya ujian dari Allah.
Beliau menutup ucapan majlis yang berlangsung di kediamannya dengan memberi peringatan bahawa umat Islam yang beriman perlu berpegang dengan janji.