Pengkhianatan dua gergasi PKR di Ampang dan Gombak, Selangor mengecewakan pengundi di kawasan berkenaan.
Mereka yang menyokong Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada pilihan raya umum (PRU) lalu, kecewa dan marah dengan pembelotan mereka keluar parti hingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru berusia 22 bulan.
The Malaysian Insight memetik mereka yang mengakui rasa dikhianati dengan tindakan dua ahli Parlimen itu.
Mereka berkata kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti untuk menghentikan pembelotan seperti itu berlaku lagi pada masa depan supaya mandat yang diberikan rakyat pada PRU dapat dilindungi.
“Saya undi Zuraida dengan harapan rasuah dapat diakhiri, tetapi sekarang dia lompat kapal dan bekerjasama dengan ahli politik rasuah itu.
“Saya mengundi selepas lima jam menunggu. Saya rasa usaha saya itu membazir kerana orang ini lompat parti,” kata pesara kerajaan, Hamdan Wahid, 65 dipetik TMI.
Hamdan berkata beliau kecewa dengan pengkhianatan Zuraida.
Beliau mencadangkan undang-undang dikuatkuasakan untuk mengelak ahli Parlimen lompat parti, menambah jika ahli Parlimen dibenarkan lompat parti sekalipun, kerusi itu sepatutnya kekal milik parti yang memenangi kawasan itu.
“Tidak perlu habiskan duit adakan pilihan raya lagi. Jika ahli Parlimen tukar parti, maka hanya orang itu yang pergi. Kerusi itu sepatutnya diberikan kepada orang lain dalam parti yang menang kerusi berkenaan.
“Kami undi parti, bukan individu,” kata Hamdan.
Seorang lagi pengundi Ampang, hanya mahu dikenali sebagai Raymond, berkata ahli politik lebih fokus pada agenda sendiri, berbanding tentang orang ramai atau negara.
Katanya, krisis politik sepanjang minggu lalu menunjukkan betapa ahli politik mementingkan diri sendiri dan menyalahgunakan kepercayaan rakyat.
“Minggu lalu, kita dapat lihat perangai sebenar ahli politik. Mereka hanya pentingkan hidup mereka dan pastikan diri sendiri selamat.
“Tidak kisahlah jika itu bermakna mereka perlu bekerja dengan musuh. Di hujungnya, rakyat yang diperbodohkan,” katanya.
Fadzil Farid turut berkongsi sentimen sama dengan mendakwa apa yang dilakukan oleh Zuraida, sesuatu yang tidak boleh diterima.
Katanya, daripada menjadi sebahagian pasukan yang membentuk kerajaan pintu belakang, Zuraida sepatutnya meletak jawatan dengan bermaruah.
“Ia tidak adil. Ia pengkhianatan. Letak jawatan dan biar rakyat memilih ahli Parlimen yang mereka hendak. Itu baru betul,” katanya.
Di sebalik itu, Fadzil percaya dengan kerajaan baharu, negara ini mempunyai prospek lebih baik untuk berkembang secara ekonomi, dan Bumiputera akan mendapat prospek lebih baik.
“Dua tahun lalu, tidak ada perkembangan besar dalam ekonomi. Mereka janji bulan dan bintang dalam manifesto tetapi tidak ada apa yang dilaksanakan dan dicapai.
“Namun, dengan kerajaan baharu ini, saya rasa ada sinar harapan. Bumiputera juga akan dapat peluang. Saya harap perdana menteri baharu ada idea bagus untuk menghidupkan semula ekonomi, katanya.