Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada tempat dalam kamus reformasi. Malah kerajaan tersebut dicipta untuk memastikan perasuah tidak didakwa atau dilepaskan dari mahkamah.
Sehubungan itu bekas senator dalam jawatankuasa anti-rasuah parlimen, Datuk Mohamad Ezam Nor menggesa pemimpin Pas yang rata-rata berpendidikan agama menilai semula kerjasama dengan pemimpin PN jika ingin rakyat terus menghormati mereka.
“Dengan komplot-komplot ini kamu melepaskan semua mereka dan kamu melanggar apa yang ditunjuk oleh Rasulullah,” katanya dalam ceramah umum di Machang, Kelantan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ezam menyatakan ramai anak muda pelbagai kaum di ibu kota semakin hari semakin menolak kerajaan ‘pintu belakang’ yang membelakangkan prinsip rakyat.
“Kerana bagi mereka prinsipnya tak boleh terima kerajaan pintu belakang. Tak boleh langsung. Tiada kompromi.
“Mandat 2018 PRU14 ialah Pakatan Harapan (PH), memberi kemenangan kepada PH. Kalau ada masalah PH tunggu pilihan raya akan datang untuk rakyat memberi mandat baru. Bukan dengan pintu belakang. Ini pengkhianatan,” katanya.
Sehubungan itu, Ezam tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa ‘pengkhianatan dalam peperangan’.
Tambahnya, PH muncul sebagai parti politik baharu menjanjikan perubahan telah ‘diserang’ sejak hari pertama membentuk kerajaan selepas PRU14.
Ezam menyifatkan tindakan Muhyiddin sebagai pengkhianatan kerana ‘lari’ dan ‘bersekongkol’ dengan musuh yang cuba menggagalkan usaha perubahan.
“Keduanya langgar janji. Itu maruah kita sebagai manusia.
“Ini janji berikan kepada Anwar sebagai perdana menteri kelapan. Yang berjanji siapa, yang tanda tangan siapa termasuk Muhyiddin,” katanya.