Tiada pergeseran berlaku dalam Pakatan harapan dan Tun mahathir masih calon perdana menteri sekiranya kerajaan Perikatan Nasional tumbang dalam masa terdekat
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata ketidakhadiran Tun dalam majlis Pertahan Mandat Rakyat pada malam tadi bukan petanda renggangnya hubungan Mahathir dan PH.
Katanya, Dr Mahathir tetap dijemput ke program itu walau bekas perdana menteri tersebut tidak dapat hadir kerana baru saja pulang dari Langkawi.
“Saya berhubung dengan pejabat Tun. Esok saya jumpa Tun sebab beliau baru balik dari Langkawi.
“Dan hari terakhir (serah perakuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong) ketua parti dipanggil ke Istana kita namakan Tun sebagai calon pilihan,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Beliau yang ditemui pemberita di Pusat Konvesyen Sime Darby juga menolak dakwaan hubungan PH dengan Dr Mahathir kini goyah.
“Saya berhubung dengan Tun, tidak ada isu pun hubungan masih lagi baik dengan Tun,” katanya.
Ditanya sama ada Dr Mahathir masih mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri, Saifuddin berkata perkara itu akan memaklumkan kepada media kelak.
Dr Mahathir pada 1 Mac mendakwa masih mendapat sokongan majoriti dengan 114 ahli Parlimen ketika Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan.
Ditanya mengenai strategi untuk menghadapi kerajaan Perikatan Nasional, Saifuddin berkata beliau yakin PH tidak akan menjadi pembangkang untuk tempoh lama.
Beliau juga menjelaskan, acara malam ini bertujuan memberi penerangan kepada barisan pemimpin PH.
“Kita lancar program Pertahankan Mandat Rakyat dan kita akan turun di peringkat negeri dan kawasan Parlimen.
“Jadi kita nak pastikan naratif dan skop yang betul patut disampaikan dan penerangan terkini dari segi nombor (jumlah kerusi),” katanya.
Beliau turut mengesahkan kehadiran ahli Bersatu dalam acara tersebut.
“Dalam dewan ini ada (Bersatu) sebab kita jemput wakil dari Perlis sampai ke (peringkat) pusat,” katanya.
Jumaat lalu media melaporkan penganjuran acara itu dilaporkan dan akan turut dihadiri oleh Dr Mahathir yang dijadual berucap di majlis itu.
Program itu menjemput ahli Parlimen, Adun, pemimpin negeri, ketua penerangan negeri dan ketua bahagian parti.