Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak menggunakan alasan agama kononnya mereka tidak perlu takut kepada virus Covid 19
Menurut beliau kenyataan itu hanya akan memberikan imej negatif kepada Islam sedangkan ajaran Islam adalah mengutamakan memelihara nyawa dan kesihatan sendiri mahupun jiran sekeliling.
Beliau juga menyeru agar rakyat mengutamakan disiplin diri dalam mengawal wabak dengan duduk di rumah sepanjang 14 hari.
“Negara China dapat mengawal (penularan wabak Covid-19) kerana hampir menutup seluruh pergerakan beberapa wilayah yang melibatkan beberapa juta manusia.
“Kita tidak sampai ke situ, tetapi harus patuh kerana apa yang diajar dalam Islam, apa yang diajar dalam solat, itu disiplin asas.
“Kita akur, jangan kita gunakan alasan-alasan agama yang cetek, yang mengatakan memadai doa sebagai seorang Muslim dan tidak perlu – umpamanya – takut kepada virus.
“Kita tak persoal takut kepada Allah, Allah minta kita ikhtiar dan antara ikhtiar ialah menyelamatkan diri, keluarga dan jangan bebankan orang lain,” katanya dipetik dalam tazkirah sempena Israk Mikraj melalui siaran langsung di Facebook beliau malam tadi.
Beliau turut menceritakan sejarah mengenai taun yang pernah berlaku pada zaman silam dan Islam melarang berkunjung di kawasan yang dilanda wabak itu bagi membendung penularannya.
“Tapi tanpa maqasid syariah dan pengalaman, masing-masing (warganet) keluarkan fatwa mereka (sehingga) jadi porak-peranda masyarakat.
“Dan sekarang ni terpalit (menjejaskan) dengan banyak orang dan imej agama itu juga mungkin menjadi negatif.
“Padahal dakwah, tabligh, itu istilah-istilah yang positif tapi menjadi negatif kerana tindakan segolongan kecil,” katanya.
Pada masa sama, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson turut menceritakan terdapat tazkirah yang pernah dihadirinya sebelum ini menyatakan supaya tidak perlu takut kepada koronavirus, sebaliknya hanya perlu membaca potongan ayat al-Quran dan sapu ke muka.
Anwar bagaimanapun berkata, doa perlu diamalkan setiap hari namun kawalan juga perlu sebagai ikhtiar manusia dalam menghadapi ujian Allah. Justeru beliau menasihatkan rakyat Malaysia memohon doa supaya terhindar daripada wabak tersebut tanpa mengabaikan langkah pencegahan.