Pengeluaran RM500 caruman KWSP adalah tidak munasabah dalam waktu rakyat dihimpit masalah kemungkinan kehilangan pekerjaan pada masa hadapan berikutan wabak Covid 19 yang memusnahkan ekonomi dunia
Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyatakan kembimbangan susulan langkah kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan wang daripada Akaun 2 mereka.
Anwar berkata, sebaik-baiknya kerajaan memberikan bantuan sebanyak RM250 sebulan kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya prihatin dengan isu berikan ruang kepada pekerja keluarkan caruman dari KWSP. Ini simpanan untuk masa depan mereka, kelompok kaya tak membimbangkan tetapi dalam kelompok pendapatan rendah ini dikhuatiri jejaskan masa depan mereka.
“[…] tapi saya rasa kerajaan kena pertimbangkan semula, jangan beban hanya pada mereka, sepatutnya paling tidak kerajaan bagi sumbangan sebahagian kepada semua, kalau kata lah RM250 kalau mereka perlu tambahan keluarkan RM250 saja (dari KWSP).
“Kerajaan harus fikirkan untuk belanja dari rizab negara. Ini keadaan kritikal sekarang,” katanya dalam sidang media secara langsung di akaun Facebook hari ini.
Menjelaskan lanjut, katanya, bantuan RM250 itu boleh disalurkan daripada rizab negara atau pun hasil keuntungan Petronas.
“Saya pendapat ini adalah keperluan yang harus diberikan pertimbangan segera, hari ini atau esok kerana penjaja atau nelayan, kalau mereka tak kerja tiga ke empat hari mereka tiada simpanan yang panjang.
“[…] guna rizab yang besar yang ada sama ada dalam kerajaan atau Petronas untuk selamatkan rakyat sekarang,” katanya lagi.
Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.
Langkah itu membayangkan kemerosotan ekonomi selepas tempoh wabak Covid 19 apabila perniagaan berkemungkinan mengalami masalah aliran tunai dan memberhentikan pekerja.
Malah pakar ekonomi berpendapat sekiranya 10% industri kecil dan sederhana muflis sebanyak 1 juta pekerja akan menganggur.