Lanjutan tempoh kawalan pergerakan yang diumumkan PM Muhyiddin Yassin tidak sewajarnya tanpa kerajaan Perikatan Nasional memberi elaun secukupnya kepada rakyat.
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berkata, kerajaan sepatutnya memberi elaun RM1,000 tiap-tiap bulan pada Mac dan April kepada penerima Bantuan Sara Hidup (B40).
Menurut PH, meskipun Bank Negara mengumumkan penangguhan enam bulan bayaran pinjaman bank, langkah tersebut tidak cukup dalam membantu segelintir rakyat seperti golongan yang menyewa rumah atau peniaga kecil.
“Ini akan menjadi relevan untuk mengekalkan mereka yang berada di sektor tidak formal atau tiada pendapatan tetap yang merupakan segmen besar tenaga kerja negara.
“Malah, mereka yang mempunyai pendapatan tetap di sektor formal turut terkesan, tetapi keadaan lebih buruk bagi mereka yang berada di sektor tidak formal.
“Nasib mereka harus segera ditangani untuk mengelakkan masalah kelaparan di kalangan orang ramai serta kegelisahan sosial,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan wakil pemimpin kanan PKR, Amanah dan DAP, iaitu Saifuddin Nasution, Hatta Ramli dan Liew Chin Tong.
Antara cadangan lain sebagai tindakan tambahan ialah kemudahan tunai buat Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan rangsangan tambahan hampir RM150 bilion.
Menurutnya, jumlah peruntukan tersebut dapat meredakan aliran tunai bagi perniagaan kecil.
“Ini akan memastikan PKS dapat mengekalkan tenaga kerja mereka dan terus hidup selagi keadaan ekonomi yang mencabar kekal,” katanya.
Pakej ransangan RM150 bilion
Katanya, memandangkan terdapat kajian yang menjangkakan anggaran jumlah kerugian pendapatan isi rumah berikutan krisis tersebut pada tahap RM95 bilion, maka dilihat beberapa langkah diumumkan dalam pakej pertama tidak dapat mencapai kerberkesanan dalam tempoh PKP.
“Kami mencadangkan pakej rangsangan tambahan yang lebih besar, supaya jumlahnya menghampiri RM 150 bilion, atau 10 peratus KDNK tahunan Malaysia.
“Di peringkat antarabangsa, negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman mengamalkan anggaran yang sama, dan melaksanakan pakej rangsangan fiskal sekitar 10 peratus KDNK mereka,” katanya.
Manakala, cadangan lain merupakan moratorium bagi bil utiliti terkumpul selama enam bulan yang melibatkan perkhidmatan utiliti seperti Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan syarikat telekomunikasi.
“Mereka juga harus membenarkan pembayaran balik secara ansuran selepas tempoh enam bulan tersebut.
“Langkah ini akan membantu isi rumah dan perniagaan menumpukan usaha pada waktu PKP ini dan seterusnya jangkamasa pemulihan dalam tempoh enam bulan.
“Tindakan segera dan berani diperlukan untuk menangani waktu yang luar biasa ini,” katanya.
Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan
perkhidmatan penting, yang secara tidak langsung menjejaskan kewangan banyak pihak.