Krisis pengeluaran topeng muka menyaksikan kenaikan harga 150% di Malaysia. Bagaimanapun kenaikan kini menjadi fenomena dunia apabila bahan mentah membuatnya dikatakan meningkat sehingga 600%
Syarikat pengeluar malah memberitahu mereka mungkin terpaksa menghentikan pengeluaran apabila kehabisan bahan mentah.
Pengarah Urusan Ideal Healthcare Sdn Bhd Haminuddin Abd Hamid berkata susulan sekatan dalam mendapatkan bahan diperlukan dari beberapa negara lain, harga untuk kain jenis melt-blown, iaitu bahan utama pembuatan topeng muka, melonjak hingga 600%.
“Kami masih menghasilkan produk itu pada kapasiti yang sama, tetapi ada sekatan dalam mendapatkan bahan mentah, dan kos untuk kain penapis BFE 95% warna putih naik hingga 600%.
“Di samping itu, kerajaan mengenakan duti import dan cukai jualan terhadap penapis itu, tetapi memberi pengecualian bagi produk siap,” katanya dipetik The Malaysian Insight
Beliau berkata kilang syarikat itu di Sungai Petani, Kedah akan menghentikan pengeluaran bila bahan mentah habis digunakan.
Malaysia pada masa ini berdepan kekurangan bekalan topeng yang serius. Farmasi di seluruh negara kehabisan produk itu dan menunggu ketibaannya dari luar negara.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa berkata kerajaan melarang eksport topeng muka ke luar negara bagi memastikan bekalan untuk rakyat Malaysia ketika krisis Covid-19, mencukupi.
Beliau berkata Putrajaya juga akan mengimport topeng muka dari China berikutan penghasilan tempatan bermasalah dalam mendapatkan bahan mentah mencukupi.