Lebih daripada sekali pengacara forum Consider This, di Asro Awani semalam bertanya kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, benarkah bantuan yang diumumkan dalam pakej ransangan ekonomi kerajaan Perikatan Nasional (PN) membantu marhaen ‘Makcik Kiah’ dengan nilai bersih RM860 sahaja, bukannya RM4,464 sebagaimana yang diuar-uarkan.
Menteri Kewangan tidak menafikan angka itu, sebaliknya mengelak dan berhujah pakej ransangan bukan mengutamakan berapakah nilai wang yang diperolehi tetapi ‘yang penting makanan untuk meneruskan kehidupan’.
“For #MakcikKiah’s survival.” @melisa_idris and @SharaadKuttan ask Finance Minister @tzafrul_aziz if #MakcikKiah actually saves RM4,464. #ConsiderThis pic.twitter.com/fC7gRbEBW9
— 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 (@501Awani) March 28, 2020
Mungkin inilah nasib Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat tersebut yang memukau dihiasi angka RM250 bilion tetapi jumlahnya diperbesar-besarkan. Malah pakar ekonomi yang lebih rasional melihat tempoh selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah realiti pahit yang tidak diurus secara sebaiknya oleh pakej tersebut.
Banyak perkara tercicir
Pakej ransangan tidak menyediakan peruntukan cukup untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta sektor pelancongan. Subsidi gaji kepada pekerja IKS yang dijangka banyak mengalami kerugian hanya RM600 sebulan untuk tiga bulan.
Sekiranya purata gaji pekerja IKS RM3,000 maka hanya 20% gaji mereka dibantu oleh kerajaan. Berbanding Singapura yang membantu sehingga 70%. Bantuan subsidi 20% dijangka tidak akan membantu IKS yang mengalami kerugian besar daripada membuang pekerja.
Mungkin kerajaan boleh memberi potongan cukai pendapatan syarikat dan sebagainya. Namun suasana ekonomi dunia yang menuju kemelesetan global susulan negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat dan Eropah terjejas akibat wabak Covid 19 tidak memungkinkan IKS negara ini selesa bernafas.
Ke manakah pasaran eksport Malaysia ketika rantau kurang terjejas hanyalah Amerika Selatan dan Afrika, yang rata-ratanya tidak mempunyai kuasa beli tinggi.
Pelancongan paling terkesan
Satu lagi sektor yang teruk terpukul adalah pelancongan. Pelancongan tidak dikhususkan dalam pakej ransangan. Persatuan pengusaha pelancongan menuntut dana iklan yang dijimatkan sebanyak RM100 juta daripada promosi Tahun Melwat Malaysia 2020 yang dibatalkan diguna untuk mensubsidi sektor berkenaan.
Tanpa mereka sedar pakej RM250 bilion yang diumumkan itu pun belum jelas dari mana sumber dananya selain penjimatan oleh kementerian-kementerian. Mungkin juga bermakna selepas wabak Covid berakhir maka sektor kerajaan juga tidak mempunyai banyak peruntukan?
Oleh itu, tidak keterlaluan sekiranya pakar ekonomi termasuk dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan pembuangan pekerja akan berlaku sebesar 1 hingga 2 juta orang dalam berbeberapa bulan akan datang. Dengan jumlah itu dan dicampur hampir 1 juta penganguran sedia ada serta lebih 500 ribu graduan tanpa kerja maka suasana ekonomi rakyat amat buruk menjelang 2021.
Subsidi gaji
Malaysia mungkin tidak mempunyai rizab sebesar Singapura dan mampu memberi subsidi gaji sehingga 9 bulan, namun jumlah bantuan perlu lebih besar berbanding RM600 sebulan serta RM1,600 (bantuan prihatin one off).
Sekiranya perniagaan telah terjejas atau muflis, amat sukar sektor itu untuk dibangun/dikukuhkan semula. Tenaga kerja negara sekitar 15 juta orang perlu dipertahankan.
Sekiranya gagal maka kerajaan tidak mungkin berupaya memberi bantuan tunai kepada penganggur yang pasti kesannya akan lebih menekan kewangan negara.
Kendurkan sekatan
Seperkara lagi, kerajaan PN seolah-olah tidak faham rantaian bekalan sehingga menyekat dengan hebat semua pergerakan lori pengangkut dan menutup semua pejabat serta gudang kecuali yang berurusan dengan peruncitan atau ubat-ubatan.
Penutupan terlalu tegas ini misalnya mengakibatkan bekalan makanan kepada sektor ternakan terhenti. Para pekedai makanan haiwan memberitahu bekalan hanya cukup untuk minggu ini. Bagi penternak-penternak besar bekalan mungkin diterima terus dari kilang. Namun bagi penternak bersaiz sederhana, bekalan dedak, gandum dan jagung yang tidak dibenar dihantar ke kedai-kedai amat menjejaskan mereka.
Maka selepas berakhirnya PKP terdapat kemungkinan ladang-ladang ayam dan itik saiz sederhana atau kecil-kecilan akan mengalami kerugian akibat kematian haiwan ternakan. Ini mengurangkan bekalan makanan di pasaran dan menyebabkan harga ayam atau telur akan melambung.
Kaji semula pakej
Dengan harga minyak dunia diramal turun ke paras paling buruk AS$10 setong berbanding AS$25 sekarang dan pendapatan Malaysia yang bergantung kepada sektor petroleum akan terjejas maka adalah lebih baik kerajaan PN mengkaji semula keutamaan pakej ransangannya.
Perniagaan kecil atau penternakan boleh dibiarkan tutup sekiranya negara kaya dan boleh memberi bantuan tunai kepada rakyat sehingga hujung tahun. Jika hanya mampu memberi bantuan sebanyak RM1,600 kepada bergaji bawah RM4,000 dan RM1,000 kepada selebihnya maka wang ini akan habis dibelanjakan membeli topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan sahaja.
Selepas tempoh PKP rakyat akan mengadapi realiti ekonomi pahit tanpa bantuan lagi. Kerajaan pula yang bergantung sehingga 35% kepada hasil petroleum dalam belanjawan negara pasti menghadapi tekanan hebat kerana Belanjawan 2020 dirangka berdasarkan harga minyak AS$60 setong.
Oleh itu, seruan presiden PKR Anwar Ibrahim agar pakej ransangan diperhalusi wajar dipertimbangkan . Sekurang-kurangnya Anwar pernah dinobatkan sebagai antara Menteri Kewangan terbaik dunia pada 1990an lalu.
Sebaliknya, nasihat Najib agar melaksanakan polisi Cash Is King, mengaburi mata rakyat dengan wang tunai, tidak perlu diikuti kerana polisi itu telah menjebak negara ke situasi keberhutangan tinggi sepanjang beliau menjawat Menteri Kewangan.