Tanpa pakej ransangan terhadap syarikat-syarikat kecil teknologi maklumat tidak mustahil pemain industri tersebt akan gulung tikar.
Berdasarkan kajian kira-kira 40% daripada syarikat pemula niaga teknologi dan perusahaan sosial berkemungkinan tidak dapat meneruskan perniagaan mereka selepas Jun sekiranya tidak diberikan bantuan
Pengerusi Future Digital, Ganesh Kumar Bangah, cabang kumpulan pemikir Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) dalam kenyataannya berkata, pakej ransangan sewajarnya menyentuh mengenai kelompok tersebut.
“Pakej rangsangan yang baru diumumkan ini menyediakan (sama ada) hanya sedikit bantuan atau tidak dapat membantu syarikat pemula niaga teknologi kerana mereka tidak layak memohon pinjaman berikutan ramai daripada mereka yang beroperasi kurang dari setahun, tidak mempunyai rekod prestasi dan tidak memenuhi jumlah minimum kakitangan yang diperlukan.
“Sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk beberapa minggu lagi, maka sukar untuk kebanyakan syarikat ini bertahan kerana mereka berkemungkinan tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi,” kata Ganesh yang sebelum ini merupakan pengerusi Picom.
Menurut kajian Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) pada Mac 2020, kurang daripada 3% syarikat pemula niaga akan mampu bertahan sekiranya penularan Covid-19 ini berterusan sehingga 12 bulan akan datang.
Sehubungan itu, Future Digital Pikom mencadangkan kerajaan memperuntukkan RM200 juta daripada RM4.5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhanadi bawah pakej rangsangan ekonomi bagi membiayai syarikat teknologi dan pemula niaga menerusi agensi pembiayaan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) and Malaysia Debt Ventures (MDV).
Agensi pembiayaan tersebut boleh bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MaGIC untuk memberikan dana kepada entiti teknologi yang memerlukan bantuan kerana agensi ini mempunyai komuniti syarikat teknologi dan pemula niaga yang kukuh.
“Kerajaan juga perlu terus menggalakkan pelaburan daripada sektor swasta ke dalam syarikat teknologi dan pemula niaga dengan menyediakan pelaburan sepadan atau sebahagian jaminan kepada pelabur Malaysia yang melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia,” katanya.